KUALA LUMPUR 9 Mac - AmBank berkerjasama dengan Bask Bear Coffee memperkenalkan konsep baharu ‘perbankan komuniti’ di tiga cawangannya yang bertempat di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah yang mana pelanggan dapat menikmati pengalaman melakukan urusan 'perbankan-di-kafe’.
Ini memberi peluang kepada AmBank untuk memacu perhubungan perbankan ke tahap baharu dengan mewujudkan hubungan lebih rapat dengan komuniti sekali gus menempatkan Bask Bear Coffee dalam menginovasikan pasaran kafe dengan kopi buatan tangan, Signature Toasties serta sajian artisan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo menyifatkan kerjasama unik ini sebagai 'suatu evolusi yang sudah tiba masanya'.
Beliau berkata, usaha sulung bersama dengan rakan kongsi bank terkemuka ini adalah daripada teras DNA jenama pihaknya yang mana Bask Bear Coffee sentiasa berkisarkan tentang ‘Being Bold, Being Brave’.
"Setakat yang kami tahu, ini merupakan konsep pertama di mana kafe selesa menjalinkan kerjasama dengan cawangan bank yang berfungsi dinamik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Bryan Loo, beliau yakin kerjasama yang membuahkan hasil ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua jenama serta pelanggan mereka.
Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Aaron Loo berkata, pihaknya sedang berusaha ke arah mentakrifkan semula pengalaman pelanggan di cawangan mereka bermula dengan perbankan sosial.

"Perintis kami bagi konsep ini telah membuahkan hasil positif dengan kehadiran jumlah pelanggan lebih tinggi serta penglibatan pelanggan lebih kukuh di cawangan kami.
"Dengan adanya AmOnline yang berupaya mengendalikan kebanyakan keperluan transaksi, kami perlu sentiasa memastikan pelanggan yang datang ke cawangan menikmati pengalaman berbeza," katanya.
Untuk meraikan pelancaran itu, seramai 10 pemenang bertuah akan dipilih untuk menikmati secawan kopi percuma sehari selama 365 hari.

Kempen ini akan berlangsung dari 9 Mac 2023 hingga 8 Jun 2023 dan terbuka kepada pelanggan yang berjaya melakukan transaksi perbankan yang diiktiraf di mana-mana daripada 3 lokasi perbankan kafe ini.
Ini adalah tambahan kepada promosi bersama AmBank dan Bask Bear Coffee sebanyak RM5 setiap 9oz cawan Americano/ Latte panas untuk pembelian secara langsung dengan kad kredit atau debit AmBank. Tawaran sah dari 1 Mac hingga 31 Disember 2023. - DagangNews.com








