KUALA LUMPUR 30 Mac - Amazon Web Services (AWS) memperkenalkan program AWS Lift di Malaysia untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulakan perjalanan transformasi digital mereka.
Pelanggan baharu dan sedia ada yang menyertai program ini akan menerima pek permulaan AWS Credits selama 12 bulan, menyediakan akses kepada lebih 200 perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurut satu kenyataan AWS hari ini, yuran pengebilan pertama akan memberikan mereka AWS Credit sebanyak AS$750 (MYR3,353) dan peningkatan penggunaan perkhidmatan diberi ganjaran untuk mengimbangi bil sehingga maksimum AS$83,500 (MYR373,370) dalam masa 12 bulan.
Pengarah Urusan Perusahaan Pertengahan Pasaran dan PKS ASEAN, Gunish Chawla berkata AWS membolehkan PKS menjadi lebih inovatif dan berdaya tahan dengan mempercepatkan transformasi menghadapi ketidaktentuan dan perubahan.

“Melalui program seperti AWS Lift, kami menunjukkan komitmen untuk melabur serta memperkasa PKS dari pelbagai saiz dan industri di Malaysia untuk mendigitalkan perniagaan dan membuka potensi ekonomi mereka,” katanya.
Sementara itu, rangkaian rakan kongsi AWS (APN) merupakan komuniti global yang mempunyai lebih 100,000 rakan kongsi dari lebih 150 negara dengan hampir 70% beribu pejabat di luar Amerika Syarikat, membantu pelanggan di seluruh dunia untuk berubah secara digital.
AWS Lift membolehkan rakan kongsi Malaysia menyokong pelanggan baharu dan menjadikannya pengalaman yang lancar untuk mereka.
Di Malaysia, AWS telah membantu PKS dalam pelbagai industri untuk mendigitalkan perniagaan dengan memanfaatkan awan terkemuka dunia, antaranya adalah Baba's Products, StoreHub, Omesti Berhad dan ADA Malaysia.
AWS turut menyediakan kredit, sokongan teknikal dan latihan untuk menyokong pemula dalam pertumbuhan mereka melalui AWS Activate.
“Beratus-ratus ribu syarikat permulaan di seluruh dunia, termasuk perniagaan tempatan Malaysia seperti Carsome, yang merupakan unicorn teknologi pertama tempatan dan platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, telah mendapat manfaat AWS Activate," kata AWS dalam kenyataan tersebut.
Sejak 2020, Amazon telah menyediakan lebih daripada AS$2 bilion kredit AWS untuk membantu syarikat pemula mempercepat dan mengembangkan perniagaan mereka.
Pada Mac 2023, AWS telah mengumumkan komitmennya untuk melancarkan infrastruktur serantau di Malaysia dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion di Malaysia menjelang 2037 untuk memberikan peniaga dan organisasi pilihan lebih baik bagi menjalankan aplikasi dan memberi khidmat kepada pengguna dari pusat data. -DagangNews.com








