Alumni UPM agih sarapan percuma kepada pelajar universiti duduki peperiksaan | DagangNews Skip to main content

Alumni UPM agih sarapan percuma kepada pelajar universiti duduki peperiksaan

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Dr Arifin Abdu mengagihkan sarapan percuma kepada seorang pelajar yang menduduki peperiksaan.

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) mengagihkan sebanyak 900 pek roti dan air mineral sebagai sarapan percuma kepada pelajar universiti itu yang menduduki peperiksaan akhir sesi akademik 2022/2023.

 

Pendaftar UPM, Muhazam Mansor berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak alumni yang memberikan sumbangan kepada Program Putrabiz@Alumni: Mesti Makan Dulu yang dianjurkan selama tiga hari berturut-turut. 

 

Katanya, usaha murni yang dilakukan dalam pemberian sarapan secara percuma ini merupakan satu usaha murni dan sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar mengalas perut sebelum menduduki peperiksaan. 

 

"Inisiatif ini diharapkan agar dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan ini juga menunjukkan sokongan moral kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan dan dapat menjawab dengan baik. 

 

"Saya juga menyeru dan mengalu-alukan semua alumni UPM terutamanya alumni yang bertugas di UPM itu sendiri, untuk bersama-sama dalam setiap program yang dianjurkan. 

 

"Ini adalah tanda sokongan dan solidariti kita selaku alumni yang bertugas di UPM untuk bersama-sama membantu pelajar dan universiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, ia adalah satu usaha yang akan memberi impak yang besar kepada pelajar dan juga universiti.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

“Pengagihan sarapan dan sekurang-kurangnya dapat mengalas perut mereka sebelum menduduki peperiksaan pasti memberi satu momen manis untuk dikenang dan akan menjadi satu pengikat di hati ini yang mana untuk melaungkan slogan ‘kami bangga menjadi alumni UPM’ suatu masa nanti tidak menjadi satu perkara yang sukar," katanya.

 

Katanya, beliau yakin dan percaya dengan adanya program-program yang dekat dihati khususnya kepada pelajar akan membuatkan mereka untuk kembali menyumbang kepada alma mater apabila sudah bergelar alumni kelak.

 

 

upm

 

 

Tambahnya, ini juga salah satu kerangka untuk meraikan alumni yang menyumbang kepada apa juga aktiviti yang dilaksana oleh Pusat Perhubungan Alumni dan secara langsung dapat menguar-uarkan setiap sumbangan dan amanah mereka telah dilaksanakan dengan sebaiknya. - DagangNews.com