Alumni KPM 1972 sumbang lebih RM58,000 kepada Tabung Endowmen UPM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alumni KPM 1972 sumbang lebih RM58,000 kepada Tabung Endowmen UPM

Pengerusi Alumni KPM 1972, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (kanan) menyerahkan replika cek kepada Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman untuk Tabung Endowmen ketika program bersama Alumni KPM 1972 di UPM, baru-baru ini.

SERDANG 12 Julai - Hampir 100 alumni Kolej Pertanian Malaya (KPM) 1972 Universiti Putra Malaysia (UPM) berhimpun dalam program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) Siri 10 baru-baru ini dalam rangka Sambutan Perayaan Jubli Emas KPM 1972. 

 

Program yang berlangsung di UPM itu menyaksikan ‘kepulangan’ bekas pelajar Kolej Pertanian Malaya untuk bersama-sama menyaksikan pencapaian dan kejayaan UPM pada hari ini. 

 

Setelah 50 tahun meninggalkan kampus, kepulangan tersebut menjadi lipatan memori indah untuk para alumni KPM 1972. 

 

Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku penganjur bersama program ini telah ‘membentangkan karpet merah’ demi menyambut kepulangan para alumni dengan pelbagai acara dan pengisian yang telah dirangka dalam menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Jubli Emas KPM 1972.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM merangkap Pengerusi Alumni KPM 1972, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada alumni tersebut dan penganjur atas penganjuran program yang dianggap sangat memberi makna kepada seluruh alumni KPM 1972 dan juga UPM.

 

“Saya dan rakan-rakan telah menerima Diploma Pertanian pada 5 Ogos 1972. Semasa kami berada di Kolej Pertanian Malaya, Serdang, kampus dan fakulti terhad hanya kepada bidang pertanian sahaja. Sekarang kolej itu telah menjadi sebuah universiti yang terbesar di Malaysia dengan pelbagai fakulti dan bidang pertanian masih kekal sebagai bidang tujahan UPM.

 

"Hari ini, menyaksikan ramai rakan-rakan alumni KPM 1972 kembali ke kampus Serdang. Kami memilih untuk meraikan Jubli Emas KPM 1972 di UPM, kampus hijau ini tidak lain tidak bukan untuk melihat bagaimana kampus yang kecil dahulunya kini telah berkembang bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal tetapi juga dari aspek perkembangan akademik dalam tempoh 50 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

alumni upm
Pengerusi Alumni KPM 1972, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (tengah, barisan hadapan) ketika program bersama Alumni KPM 1972 di UPM, baru-baru ini.

 

 

Terdahulu, sumbangan endowmen sebanyak RM58,875.95 telah diserahkan oleh YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail kepada Naib Canselor UPM, YH. Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, yang dapat memberi manfaat kepada pelajar UPM.

 

Endowmen ini akan diagihkan sebagai satu biasiswa kepada para pelajar UPM yang memerlukan terutamanya daripada kalangan asnaf, keluarga B40 dan juga Orang Kurang Upaya (OKU). 

 

 

upm

 

 

Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh para alumni untuk diuruskan dengan sebaiknya. 

 

“Endowmen ini adalah satu penghargaan yang besar oleh alumni kepada alma mater. Ini menunjukkan kebersamaan alumni dalam sederap melangkah menuju al-falah. 

 

"Malah dalam naratif Naib Canselor 2022 juga ada menyatakan bahawa ‘Melibatsama Alumni untuk Kelangsungan Universiti’ adalah satu hal yang penting dan boleh bersama-sama membawa universiti ke tahap kejayaan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pada peringkat antarabangsa," katanya. - DagangNews.com