Alpha IVF terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alpha IVF terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Alpha IVF Group Berhad mempunyai dua pusat pakar rawatan kesuburan di Malaysia dan sebuah lagi di Singapura.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - Pusat rawatan kesuburan, Alpha IVF Group Berhad menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Alpha IVF mempunyai pusat perubatan di Malaysia dan Singapura yang menawarkan perkhidmatan kepakaran reproduktif dengan fokus utama kepada rawatan In-vitro-Fertilization (IVF).

 

Selain pusat rawatan kesuburan yang terletak di Selangor dan Pulau Pinang, Alpha IVF turut memiliki pusat rawatan IVF di Singapura yang dikenali sebagai Alpha International Women’s Specialists (Singapore) Pte Ltd.

 

Bukan sahaja mememenuhi keperluan pesakit tempatan, pusat rawatan kesuburan Alpha IVF yang mula berperoperasi pada 2011 juga menjadi tumpuan pesakit dari negara serantau kerana perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).

 

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka selangkah lebih dekat dengan objektif penyenaraian di Pasaran ACE.

 

alpha
Bukan hanya warga tempatan, pesakit dari negara serantau juga mendapatkan perkhidmatan rawatan kesuburan di Alpha IVF.

 

Katanya, penyenaraian ini akan membolehkan hasrat Kumpulan untuk menjadi pusat pakar rawatan kesuburan utama serantau menjadi kenyataan. 

 

“Kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE bukan sahaja satu langkah penting kepada pertumbuhan syarikat tetapi juga mengukuhkan iltizam kami untuk merealisasikan impian pasangan untuk bergelar ibu bapa," kata Colin dalam kenyataan.

 

Selain rawatan, Alpha IVF juga menyediakan pelbagai perkhidmatan prosedur reproduktif, ujian dan saringan serta pengawetan krio telur, sperma dan embrio.

 

Alpha IVF dijangka disenaraikan di Pasaran ACE pada suku pertama 2024.

 

AmInvestment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO.- DagangNews.com