Alpha IVF catat untung bersih RM25.3 juta pada 1HFY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alpha IVF catat untung bersih RM25.3 juta pada 1HFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Alpha IVF Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM25.3 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (1HFY24) dengan pendapatan berjumlah RM80.1 juta.

 

Syarikat yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu memperoleh pendapatan terutamanya daripada penyediaan perkhidmatan pembiakan berbantu yang memberi tumpuan kepada rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan sesahamnya (EPS) pula bernilai 0.56 sen.

 

Memandangkan kumpulan belum lagi menjadi entiti tersenarai awam, tiada perbandingan untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), keuntungan bersih Alpha IVF bernilai RM12.2 juta manakala pendapatannya sebanyak RM38.5 juta.

 

Dalam kenyataan berasingan Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata prestasi kewangan 2QFY24 menyerlahkan keupayaan kumpulan untuk mengharungi gelombang pelancongan perubatan dan keperluan yang semakin meningkat untuk rawatan IVF. 

 

Datuk Dr Colin Lee Soon Soo
Datuk Dr Colin Lee Soon Soo

 

“Prestasi kewangan kami yang positif serta penyenaraian kami dan profil yang dipertingkatkan di mata umum, membolehkan kami memanfaatkan peluang pasaran baharu.

 

“Kami akan terus melaksanakan rancangan pertumbuhan, termasuk mengembangkan perniagaan secara tempatan dan serantau, dan pada masa yang sama menangani permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

 

Alpha IVF dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 22 Mac 2024, pada harga terbitan 32 sen sesaham dengan permodalan pasaran bernilai RM1.6 bilion, menjadikannya tawaran awam permulaan (IPO) Pasaran ACE terbesar di Bursa Malaysia. - DagangNews.com