Akademi Sains Malaysia anjur National Science Challenge 2022 rebut Piala Perdana Menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akademi Sains Malaysia anjur National Science Challenge 2022 rebut Piala Perdana Menteri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 April - Akademi Sains Malaysia (ASM) menganjurkan pertandingan National Science Challenge (NSC) 2022 bertemakan 'Pembangunan Lestari untuk Kesihatan Planet berteraskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)’ bagi merebut piala pusingan Perdana Menteri.

 

Pendaftaran terbuka kepada semua pelajar seluruh negara berumur 13 hingga 16 tahun dari sekolah awam, swasta dan antarabangsa, bermula 15 April 2022 hingga 8 Jun 2022.

 

Sejak 39 tahun yang lalu, NSC telah berkembang daripada hanya sekadar kuiz sains kepada menjadi salah satu pertandingan sains terulung di negara ini, memberikan cabaran berasaskan standard yang tinggi kepada pelajar sekolah menengah.

 

Ia memupuk kemahiran pelajar muda yang berbakat untuk mengukuhkan keupayaan dan kemahiran mereka di luar bilik darjah sekaligus membentuk minat dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). NSC sejak itu telah menerima lebih 40,000 peserta daripada pelajar di seluruh negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Hazami Habib berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar untuk melindungi dan menjaga satu-satunya planet yang didiami serta mempunyai pemahaman bahawa terdapatnya kesalinghubungan organisasi kehidupan dan alam sekitar.

 

"Melalui pertandingan ini, menumpukan kepada usaha memupuk, mempromosi dan meningkatkan minat pendidikan STEM kepada pelajar sekolah di seluruh negara. 

 

"Kami menantikan idea dan prototaip yang akan dipamerkan dan mungkin konsep itu boleh digunakan mencipta pelaksanaan yang berguna untuk masa depan yang mampan. 

 

"Untuk rekod, kajian impak pada 2019 telah menunjukkan bahawa NSC memainkan peranan penting memupuk minat pelajar dalam STEM dan meningkatkan kemahiran soft skills mereka, seperti komunikasi, kerjasama pasukan, pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah dan pengurusan masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, pasukan yang berdaftar di seluruh negara akan bersaing di peringkat awal untuk menjawab kuiz dalam talian yang menguji pemahaman mereka tentang pelbagai topik berkaitan sains termasuk biologi fizik, kimia dan matematik. 

 

Seterusnya, lima pasukan terbaik dari semua negeri akan dipilih ke peringkat negeri yang mana mereka perlu membuat pembentangan video, idea prototaip dan menyelesaikan soalan berkaitan STIE. 

 

Di peringkat separuh akhir, 20 pasukan akan dinilai dengan lebih teliti mengikut tema tahun ini. Lima pasukan terbaik akan dipilih untuk ke peringkat akhir dan mereka dikehendaki melakukan pitching akhir serta bersaing untuk hadiah utama yang dinilai juri profesional.

 

NSC 2022 membenarkan semua sekolah menghantar lebih daripada satu pasukan. Setiap pasukan hendaklah terdiri daripada tiga orang pelajar dan seorang guru pembimbing. 

 

Pemenang akan membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri dan sijil penyertaan. Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan ini, layari www.nsc.my. - DagangNews.com