Airbnb lancar inisiatif Pulau Pinang Untuk Semua, pacu pemulihan ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbnb lancar inisiatif Pulau Pinang Untuk Semua, pacu pemulihan ekonomi

Mich Goh
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - Airbnb hari ini menggariskan visinya untuk undang-undang penginapan sewaan jangka pendek (STRA) yang adil dan munasabah di Pulau Pinang, melalui pelancaran inisiatifnya Pulau Pinang Untuk Semua. 

 

Syarikat hospitaliti global itu amat mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri pada awal bulan Mei lalu untuk mengawal selia STRA dan menyatakannya sebagai satu langkah yang tepat. 

 

Seruan Airbnb untuk peraturan yang adil dan munasabah dilakukan susulan data Airbnb baharu yang menunjukkan lonjakan ketara dalam minat terhadap perjalanan ke Malaysia di platform ini. 

 

Carian tetamu domestik di Airbnb untuk penginapan di Malaysia meningkat melebihi 150% tahun ke tahun pada suku pertama 2022, manakala carian tetamu antarabangsa meningkat melebihi 140% tahun ke tahun bagi tempoh sama. 

 

Destinasi paling popular di seluruh negara dalam kalangan para tetamu domestik dan antarabangsa ialah Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru, Georgetown dan Melaka.

 

Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, rakyat Malaysia dan pengembara antarabangsa berminat untuk meneroka destinasi di seluruh Malaysia melalui Airbnb. 

 

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan industri pelancongan Pulau Pinang bagi memacu pemulihan ekonomi, mengembangkan pelancongan ke masa hadapan serta menyokong perniagaan dan pekerjaan tempatan. 

 

"Kami ingin memastikan Penang Untuk Semua, supaya semua orang di Pulau Pinang boleh berkongsi manfaat industri pelancongan yang digiatkan semula. 

 

"STRA telah lama menjadi penyumbang kepada ekonomi negara dengan memperkasakan hos Malaysia yang berkongsi kediaman mereka serta menawarkan pelbagai jenis penginapan yang unik dan mesra keluarga pada harga yang berbeza kepada para pengembara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Mich, pihaknya telah bertemu dengan Pejabat Majlis Eksekutif Negeri Pulau Pinang untuk Pelancongan dan Ekonomi Kreatif untuk membincangkan bagaimana Airbnb boleh terus menyokong inisiatif pelancongan negeri.

 

"Kami kekal komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negeri dalam rangka kerja kawal selia yang berkesan yang akan membolehkan pemulihan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang bagi Pulau Pinang," katanya. - DagangNews.com