KUALA LUMPUR 27 April - AirAsia X Bhd. mengesahkan bahawa semua pelanggan yang terjejas kini boleh menggunakan akaun kredit untuk menempah perkhidmatan sedia ada dengan segera.
Dalam tempoh 3 bulan akan datang, semua pelanggan yang mempunyai kredit yang tidak digunakan dengan syarikat penerbangan itu juga akan menerima baucar perjalanan secara automatik yang boleh digunakan untuk menempah perjalanan sehingga 5 tahun melalui akaun airasia rewards.
Selain itu, mereka yang terjejas oleh proses penstrukturan semula juga bakal menerima bayaran balik secara sekali beri sebanyak 0.5% daripada nilai keseluruhan kredit perjalanan mereka yang tidak digunakan pada ulang tahun pertama Penstrukturan Semula Hutang AirAsia X pada Mac 2023, serta sebahagian daripada keuntungan syarikat pada tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, kumpulan mengutamakan para pelanggan yang terjejas selama dua tahun ini kerana syarikat juga turut terkesan.
Katanya, sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, tempoh 2 tahun kebelakangan ini adalah amat mencabar terutama dengan penutupan sempadan di seluruh dunia.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan di atas kefahaman dan kesabaran mereka.
"Malah, kami telah menggunakan tempoh sekatan perjalanan tersebut untuk membina semula syarikat penerbangan ini supaya AirAsia x dapat kembali dengan lebih kukuh pasca pandemik.
“Selain itu, kami juga komited untuk mengutamakan para pelanggan dan tidak sabar untuk mengalu-alukan mereka kembali terbang bersama kami dengan tambang bernilai hebat serta perkhidmatan dalam penerbangan terkemuka sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, AirAsia X telah melancarkan perkhidmatan pasca pandemik pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sydney dan minggu lalu ke New Delhi dan Seoul.
Perkhidmatan tersebut tersedia untuk tempahan menggunakan akaun kredit atau kredit perjalanan tertunggak untuk perjalanan sebelum 30 Jun 2022.
Jika tiada sebarang tempahan dibuat dalam tempoh ini, kredit perjalanan tertunggak atau akaun kredit akan ditukar secara automatik kepada baucar perjalanan dan akan dikreditkan kepada tetamu dalam beberapa bulan akan datang, sah untuk tempahan perjalanan sehingga 5 tahun.
Seperti dalam Penyata Penerangan yang telah diterima oleh semua Pemiutang (termasuk para tetamu) pada tahun lalu, tawaran kredit perjalanan kepada para tetamu yang terjejas oleh Penstrukturan Semula Hutang tersebut adalah mengikut budi bicara pengurusan AirAsia X dan tertakluk pada terma dan syarat. - DagangNews.com








