AirAsia, Batik Air tawar diskaun tambang penerbangan kepada penumpang MYAirline terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia, Batik Air tawar diskaun tambang penerbangan kepada penumpang MYAirline terjejas

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - AirAsia memperluaskan sokongannya dengan menawarkan diskaun 50% tambang asas kepada penumpang MYAirline yang terjejas berkuat kuasa serta-merta, yang mana dapat mengurangkan kesulitan rancangan perjalanan mereka, susulan penggantungan operasi MYAirline.

 

Tawaran istimewa itu ditawarkan kepada semua penumpang MYAirline dengan tempahan penerbangan yang disahkan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabaku-Tawau, dan Don Mueng-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok mulai hari ini hingga 30 November 2023.

 

Untuk menebus tawaran ini, penumpang yang terjejas boleh mengemukakan tempahan penerbangan MYAirline mereka yang disahkan di Kaunter Jualan AirAsia di KL Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) di Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

Selain itu, penebusan tawaran itu boleh dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Bharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, sebagai syarikat penerbangan rakyat, pihaknya amat bersimpati dengan semua penumpang MYAirline yang terjejas dan kakitangan mereka. 

 

"Kami memahami tekanan dan gangguan yang ditimbulkan oleh situasi ini dan berharap diskaun 50 % ini akan membantu penumpang yang terjejas dalam membuat pengaturan perjalanan baharu, menggunakan sepenuhnya rangkaian penerbangan kami yang meluas ke semua destinasi utama.

 

"Pemikiran kami juga ditujukan kepada semua kakitangan berdedikasi yang terjejas oleh situasi ini. Kami mengiktiraf bakat dan pengalaman kakitangan MYAirline, dan ingin menghulurkan bantuan. 

 

"Kami berbesar hati untuk mempertimbangkan untuk mengambil individu yang layak dan berkelayakan daripada MYAirline yang berkongsi minat kami untuk industri dan bersedia untuk menyumbang kemahiran dan kepakaran mereka kepada pasukan kami. Kami menggalakkan kakitangan MYAirline yang terjejas untuk menghubungi kami dan meneroka kemungkinan menyertai keluarga Allstars kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, MYAirline mengesahkan masalah kewangan yang dihadapi dan mengumumkan `penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga diberitahu kelak'.

 

Pihaknya telah membuat keputusan yang amat menyakitkan ini kerana tekanan kewangan yang ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat penerbangan itu.

 

 

myairline

 

 

Sementara itu, Batik Air turut menghulurkan bantuan kepada penumpang MYAirlines yang terjejas dengan menawarkan tambang tetap istimewa di laluan terpilih.

 

Penumpang yang terjejas dikehendaki melampirkan salinan tiket MYAirline mereka dan membuat tempahan melalui e-mel di [email protected].

 

Tambang istimewa sehala semua termasuk, Pulau Pinang (RM129), Langkawi (RM159), Kuching (RM199), Bangkok (Don Muang) dan Kota Kinabalu (RM299).

 

Penumpang boleh menggunakan tambang istimewa semua termasuk sehala itu untuk perjalanan sehingga 30 November 2023 dan tempat duduk adalah tertakluk pada ketersediaan.

 

BACA JUGA: MYAirline gantung operasi mulai 12 Oktober 2023 sehingga penstrukturan, permodalan semula syarikat

 

Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air dan Lion Group, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, dengan cabaran yang sedang dihadapi penumpang, matlamat pihaknya adalah untuk membantu penumpang supaya mereka dapat sampai ke destinasi mereka dengan mudah. ​​

 

"Kami berada di sini untuk menyokong penumpang yang terjejas pada masa ini," katanya. - DagangNews.com