KUALA LUMPUR 28 Ogos – Aliran Ihsan Resources Berhad (AIR Berhad), peneraju industri air, baru-baru ini telah bejaya meraih kontrak bagi projek pengurangan Air Bukan Berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.
Projek ini mengukuhkan lagi kedudukan AIR Berhad sebagai pemain industri air di negara ini sekaligus membuka laluan baru bagi operasi syarikat.
Bagi projek ini, AIR Berhad akan menyediakan program pengurangan NRW yang holistik merangkumi kejuruteraan, rehalibitasi aset dan penyelenggaraan bagi tempoh 36 bulan sebagai memenuhi syarat kontrak yang ditetapkan oleh UIAM.
Skop kerja termasuklah kerja-kerja perancangan awal, reka bentuk, pembinaan infrastruktur serta kawalan kebocoran dan penyelenggaraan. Ia disokong dengan kepakaran yang dimiliki oleh AIR Berhad di samping teknologi dan kaedah-kaedah terkini yang telah terbukti dapat memberikan hasil kerja yang berkualiti tinggi. Pasukan kerja AIR Berhad menzahirkan keterujaan mereka dengan perolehan projek ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AIR Berhad, Adam Saffian Ghazali berkata, pihaknya sangat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh UIAM.
"Secara tidak langsung ia mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dengan nilai tinggi terhadap perkhidmatan dan penyelesaian yang kami tawarkan. Kami komited untuk menggunakan segala kepakaran kami dalam pelaksanaan kontrak ini agar hasil kerja kami kelak dapat menjangkau keperluan pelanggan.”
Perolehan kontrak ini dijangka memberi kesan positif kepada prestasi kewangan AIR Berhad. Hasil tambahan yang dijana akan meningkatkan trajektori pertumbuhan AIR Berhad dan mengukuhkan kedudukan pasarannya. - DagangNews.com








