Agong saksi majlis penutup Eksesais Desert Tiger di Emiriah Arab Bersatu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agong saksi majlis penutup Eksesais Desert Tiger di Emiriah Arab Bersatu

Al-Sultan Abdullah bersama Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan semasa hadir pada majlis penutup Eksesais Desert Tiger di Emiriah Arab Bersatu pada 27 Februari 2023..
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 28 Feb - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutup Eksesais Desert Tiger  6/2023 di Al Hamra FIBUA City di Wilayah Barat Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

 

Ini merupakan program latihan ketenteraan dua hala Malaysia-UAE bagi memberi pendedahan tentang operasi di padang pasir serta menambahkan pengetahuan dan kecekapan anggota.

 

Turut hadir, Presiden UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera UAE.

 

Baginda diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.


 

parafrasa
Al-Sultan Abdullah diberi penerangan tentang kelengkapan tentera UAE yang terlibat dalam latihan.

 

 

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera,  Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Darat,  Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

 

Keberangkatan Baginda selaku ketua pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah atas pelawaan Sheikh Mohammed. 

 

Kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia, Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom pada tahun 1978 -1979.

 

Program latihan ketenteraan tersebut telah bermula pada 8 Februari lalu atas tajaan Kerajaan UAE. 

 

Ia melibatkan seramai 14 pegawai dan 116 anggota daripada Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD Para) dan lima pegawai dan 120 anggota daripada Batalion Ke-61 UAE Land Forces.

 

 

parafrasa
Sebahagian daripada anggota tentera Malaysia dan UAE yang terlibat dalam Eksesais Desert Tiger.

 

 

Seri Paduka Baginda kini berada di UAE bagi lawatan khas selama tujuh hari hingga esok 1 yang turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

 

Penyertaan Tentera Darat dalam latihan ini adalah bagi mempelbagaikan kemahiran tempur sedia ada selain menajamkan lagi penguasaa taktikal dalam operasi di kawasan terbina (obua).

 

Justeru, penglibatan satu kompeni daripada 9 RAMD Para sesuai dengan fungsi pasukan itu sebagai salah satu komponen dalam Briged Pasukan Aturgerak Cepat.

 

Pada masa sama, latihan ini dapat mengeratkan hubungan ketenteraan yang sedia terjalin antara Malaysia dan UAE.

 

UAE yang berada dalam kedudukan negara kelapan terkuat di Timur Tengah walaupun mempunyai angkatan tentera yang kecil tetapi dilengkapi dengan kelengkapan moden.

 

 

irsyad
Pusat Latihan Al-Hamra merupakan kompleks latihan ketenteraan terbesar UAE.

 

 

Pusat Latihan Al-Hamra misalnya merupakan sebuah kompleks latihan ketenteraan terbesar yang dimiliki tentera UAE yang turut dikelilingi beberapa fasiliti latihan lain.

 

Mempunyai sebuah kompleks latihan pertempuran bandar yang lengkap seperti ini merupakan satu keperluan bagi ATM khususnya Tentera Darat kerana kemahiran peperangan dalam keadaan ini berbeza.

 

Ia juga boleh digunakan bagi lain-lain latihan bukan ketenteraan seperti menghadapi bencana dan operasi bantuan kemanusiaan. - DagangNews.com