KUALA LUMPUR 16 Dis - Agoda memperkenalkan ciri baharu, ‘Price Freeze’ untuk membolehkan para pelanggan mendapatkan tawaran terbaik dengan membayar wang pendahuluan bagi membekukan harga tempahan tersebut sekurang-kurangnya sehari atau sehingga 14 hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern berkata, sektor pelancongan di Asia telah dibuka semula dan para pelancong kembali mengembara, namun orang ramai masih ingin mendapatkan harga tawaran terbaik ketika membuat rancangan untuk bercuti.
Beliau berkata, Agoda sentiasa berusaha untuk menawarkan harga yang terbaik untuk pengguna.
"Ada kalanya pengguna masih tidak bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada tempahan mereka dan memerlukan masa untuk membuat keputusan, tetapi mereka tidak seharusnya melepaskan tawaran terbaik tersebut.
"Dengan memperkenalkan teknologi ‘Price Freeze’ di platform Agoda, kami mampu menawarkan lebih banyak fleksibiliti, pilihan dan harga yang terbaik kepada semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Price Freeze pastinya akan mengujakan hati pemburu harga kerana walaupun kos penginapan berkemungkinan naik atau turun dalam tempoh ‘Price Freeze’.
Pengguna bukan sahaja tidak perlu membayar lebih tinggi daripada harga awal yang telah dipersetujui, malah mereka turut menikmati penjimatan sekiranya harga tersebut turun.

Jika pengguna memilih untuk tidak menempah semasa tempoh ’Price Freeze’ yang ditetapkan, hanya wang pendahuluan yang telah dibayar akan ditolak.
Ciri ‘Price Freeze’ ini kini tersedia pada desktop dan web peranti mudah alih dan bakal diperluaskan ke peringkat global dan semua platform Agoda mulai awal tahun 2023.
Sebagai tanda pelancaran ciri ‘Price Freeze’ ini, Agoda telah mencipta permainan realiti di Instagram.
Matlamat permainan ini untuk menangkap sebanyak mungkin barang beku (emping salji, aiskrim, air batu) dan mengelakkan barangan panas (teh, api) untuk mencapai markah tertinggi. - DagangNews.com








