Affin Hwang naikkan unjuran pendapatan Gas Malaysia bagi FY23 sebanyak 6% didorong MRP menggalakkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Affin Hwang naikkan unjuran pendapatan Gas Malaysia bagi FY23 sebanyak 6% didorong MRP menggalakkan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Arah aliran Harga Rujukan Malaysia (MRP) dijangka kekal menggalakkan pada tahun 2023, mencatat pertumbuhan 15 hingga 20% tahun ke tahun (YoY), memacu trajektori pendapatan positif Gas Malaysia Berhad.

 

Affin Hwang Investment Bank berkata sedemikian dengan meningkatkan pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 6% untuk mengambil kira arah aliran harga yang positif.

 

Bagaimanapun, nisbah pembayaran dividen 2022 lebih rendah daripada jangkaan pada 75% berbanding 90%, menyebabkan firma itu mengurangkan andaian pembayaran pada tahun 2023 hingga 2025.

 

Firma penyelidikan itu terus menyukai Gas Malaysia sebagai syarikat pembayar dividen berkualiti dengan hasil lebih 7% walaupun pembayaran menurun, disokong oleh trajektori pertumbuhan pendapatan yang positif pada 2023.

 

Mengulas lanjut berkenaan arah aliran MRP, firma itu berkata ia akan menyaksikan pertumbuhan 16% berturut-turut pada suku pertama tahun 2023 dan walaupun harga suku kedua 2023 lebih lemah, purata MRP enam bulan pertama tahun ini sebanyak RM53 setiap satu juta unit terma British (MMBtu) akan kekal 33% lebih tinggi daripada MRP tahun penuh 2022 sebanyak RM40/MMbtu.

 

“Keputusan terkini OPEC+ untuk mengurangkan lagi pengeluaran minyak sebanyak 1.16 juta tong setiap hari (mbpd) mulai Mei 2023 sehingga akhir tahun telah menaikkan harga minyak global dan berkemungkinan menyokong MRP pada suku keempat 2023.

 

Berdasarkan harga minyak global semasa, kami percaya MRP tahun penuh 2023 boleh menjadi 15 hingga 20% YoY lebih tinggi daripada paras 2022, memacu pertumbuhan pendapatan Gas Malaysia bagi tahun 2023,” katanya dalam nota hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pembayaran dividen 75% lebih rendah sepanjang 2023 hingga 2025 memandangkan dividen sesaham (DPS) kumulatif 2022 sebanyak 22.76sen mewakili 75% daripada keuntungan keseluruhannya, yang merupakan pembayaran terendah sejak 2017.

 

Ini merupakan satu kejutan negatif kepada kami, memandangkan perniagaan Gas Malaysia yang stabil dengan model belanjawan agak rendah, antara RM130 juta hingga 190 juta pada masa lalu, di mana kumpulan itu telah dapat mengembangkan longgokan tunainya tanpa menjejaskan dividen,” katanya.

 

Affin Hwang mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM3.80 sesaham daripada RM4.40 selepas memotong andaian pembayaran dividen yang masih menarik pada 7 hingga 8%. -DagangNews.com