KUALA LUMPUR 22 Mei - Aeon Co (M) Bhd berjaya melengkapkan fasa terakhir program kerjasama pemuliharaan hutan Malaysia-Jepun di Bidor, Perak dengan menyasarkan sebanyak 30,000 pokok ditanam menjelang 2024.
Aeon dalam kenyataan berkata, program pemuliharaan hutan yang bermula pada 2014 itu dilaksanakan melalui tiga fasa dengan projek jangka masa 10 tahun itu akan diserahkan kepada kerajaan pada September 2024.
Katanya, pihaknya memulakan projek ini bagi menyumbang kepada usaha kelestarian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam memulih dan menghijaukan semula kawasan bekas lombong bijih timah tersebut.
"Fasa pertama program ini telah bermula pada tahun 2014. Sejumlah 8,000 pokok berjaya ditanam di atas 22.75 hektar tanah di Bidor ini.
"Fasa kedua dilaksanakan lima tahun kemudian, melibatkan penanaman tambahan sejumlah 10,000 pokok. Tahun ini, Aeon mencapai sasaran melengkapkan 30,000 pokok ditanam dalam fasa yang terakhir.
Terdahulu, bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-39 Aeon tahun ini, sebanyak 3,900 batang pokok ditanam di FRIM Forest Research, Bidor baru-baru ini, manakala jumlah selebihnya akan ditanam secara berperingkat dengan bantuan pihak FRIM.
Spesis pokok yang ditanam termasuk daripada spesis saga, pulai, keriung, ara meranti, damar hitam dan banyak lagi.

Pengarah Urusan Aeon, Keiji Ono berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menyumbang semula kepada generasi akan datang.
"Dengan melakukan inisiaitf seperti menanam pokok ini, kami yakin dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa Aeon komited terhadap misi kelestarian kami untuk menekankan kepentingan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.


"Matlamat kami adalah untuk mengubah kawasan ini menjadi tapak yang akan ditumbuhi dengan pelbagai spesies pokok yang juga boleh menjadi sumber pendidikan untuk masyarakat setempat," katanya.
Dalam pada itu, acara penghutanan semula itu dihadiri sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Aeon, rakan niaga perniagaan, masyarakat setempat, serta agensi kerajaan.
Selain itu, 80 pelajar universiti dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga turut serta dalam usaha penghutanan semula tersebut. - DagangNews.com








