KUALA LUMPUR 8 Mac – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengakui Goodyear bersama para pemegang sahamnya telah melakukan penyelarasan yang rapat dengan Kerajaan sebelum keputusan menutup kilang di Shah Alam dihebahkan.
Menurut MIDA, penyelarasan ini bagi membolehkan agensi terlibat bersama-sama menyediakan rangka kerja sokongan ke atas kira-kira 550 kakitangan yang bakal hilang kerja secara langsung oleh penutupan itu.
"Goodyear menekankan dedikasinya untuk mengendalikan peralihan ini dengan penuh hormat dan ketelusan untuk semua pekerja dan rakan sekutunya," kata MIDA dalam kenyataan hari ini.
Pelbagai pihak termasuk seorang bekas menteri terkejut dengan laporan semalam mengenai langkah Goodyear menutup kilang di Shah Alam yang beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Goodyear Malaysia tutup kilang di Shah Alam, lebih 500 pekerja bakal diberhentikan
Sementara itu, kata MIDA, penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah global Goodyear yang bertujuan untuk mencapai penjimatan kos tahunan sebanyak USD1.0 bilion (RM4.7 bilion) menjelang 2025.
Menurutnya, syarikat itu telah beroperasi dalam kerugian sejak 2017, mendorong peralihan strategik ke arah mengoptimumkan operasinya.
"Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semulanya, Goodyear telah menunjukkan rancangan untuk beralih daripada pembuatan kepada model perniagaan pengedar, memberi tumpuan kepada segmen premium yang menguntungkan, membina keupayaan dalam jualan dan pemasaran, mengukuhkan rangkaian pengedaran dan menambah baik struktur kos," katanya.
Kata agensi Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) itu, kerjasama awal ini menunjukkan komitmen semua terhadap kesejahteraan tenaga kerja.
Ujar MIDA, langkah proaktif dan positif diambil sewajarnya sebagai tindak balas terhadap keputusan Goodyear untuk menutup kilang di Shah Alam.
"Adalah penting untuk menyerlahkan dialog strategik yang berterusan antara MITI, MIDA dan Goodyear yang mendahului pengumuman ini," jelasnya.
Kata MIDA, bagi mengurangkan kesan ke atas tenaga kerja Goodyear yang terjejas, Kerajaan, melalui inisiatif yang diketuai oleh MITI telah menggerakkan pasukan khusus untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.
Menurut agensi itu, usaha dalam kes-kes terdahulu telah terbukti berkesan dengan kejayaan mengubah 'cabaran menjadi peluang'.
"MIDA telah terlibat secara aktif dengan PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Invest Malaysia bagi memudahkan bantuan penempatan kerja untuk pekerja dari pelbagai sektor.
"Usaha kerjasama ini menggariskan potensi mekanisme sokongan yang sama berkesan untuk diperluaskan kepada mereka yang terjejas oleh penutupan kilang Goodyear Shah Alam, menunjukkan pendekatan komited terhadap peralihan tenaga kerja dan daya tahan," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penutupan kilang Goodyear di Malaysia susulan proses menstruktur perniagaan mereka yang sebelum ini turut menutup kilang di Ohio, Amerika Syarikat tahun lalu.
Kata beliau, Goodyear turut melakukan penstrukturan semula dengan pemberhentian 1,200 pekerjanya di Eropah Timur, Afrika dan Asia.
"Ini dilakukan kerana penstrukturan perniagaan, disebabkan tidak boleh bersaing lagi dengan pesaingnya yang lain," katanya ketika membahaskan usul junjung kasih ke atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat semalam.
Justeru, tegas Ahli Parlimen Gombak itu, adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan susulan keputusan syarikat terbabit seperti didakwa Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).
Amiruddin juga berkata, kerajaan perlu diberi ruang untuk terus melakukan penambahbaikan dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat.- DagangNews.com








