KUALA LUMPUR 1 Ogos - Sebanyak 5,000 syarikat dijangka mula melaksanakan e-Invois mulai hari ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menganggarkan 21 juta e-Invois akan dikeluarkan oleh syarikat pada setiap hari.
Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, persekitaran pengujian dan produksi bagi Application Programming Interface telah dibuka sejak bulan April 2024 kepada semua syarikat dan pembayar cukai.
Katanya, setakat 1 Ogos 2024, sebanyak 16,000 syarikat telah berjaya mengakses sandbox API dan 3,500 syarikat telah mempunyai akses kepada persekitaran produksi API manakala portal MyInvois juga telah berjaya diakses oleh 47,000 pembayar cukai mulai Jun 2024.
"Sehingga hari ini, lebih 800,000 e-invois telah berjaya dihantar melalui Portal MyInvois, manakala 4 juta e-invois telah berjaya dihantar melalui kaedah API bagi persekitaran produksi dan pengujian," katanya.
Amir Hamzah berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Judiet Fidlis @Noraini Idris pada sesi soal jawab Sidang Dewan Negara hari ini.
Noraini bertanyakan kepada Menteri Kewangan status pelaksanaan sistem e-Invois pada ketika ini memandangkan hari ini telah bermulanya syarikat yang mempunyai jualan tahunan melebihi RM100 juta untuk melaksanakan e-Invois.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan e-invois secara berfasa mulai 1 Ogos 2024 merupakan suatu mekanisme untuk meningkatkan pematuhan cukai dan seterusnya membantu Kerajaan dalam menangani masalah ekonomi bayangan.
"Melalui pelaksanaan e-invois dan inisiatif Tax Identification Number (TIN) yang telah diperkenalkan terdahulu mulai tahun 2022, penyaluran data invois secara real time akan meningkatkan kecekapan pengesanan trend aktiviti ekonomi, analisa risiko serta fokus audit atau siasatan secara lebih tepat dengan keberhasilan yang lebih tinggi," jelasnya.
Kata Amir Hamzah, kerajaan juga telah mengumumkan tempoh peralihan selama 6 bulan mulai hari ini sebagai fleksibiliti kepada perniagaan untuk mengadaptasi pelaksanaan e-Invois dengan sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois yang disatukan.
Katanya, sepanjang tempoh peralihan ini, Kerajaan menggalakkan penyertaan perniagaan dengan tidak mengenakan penalti atau denda sekiranya berlaku ketidakpatuhan, dengan syarat pengeluaran e-invois yang disatukan adalah dipatuhi.
"Pihak LHDN telah menyediakan pelan mitigasi risiko untuk mengurus, mengawal dan mengurangkan kemungkinan berlakunya gangguan teknikal semasa proses penghantaran e-Invois dalam Portal MyInvois.
"Fasa pertama ini merupakan titik permulaan bagi perjalanan e-Invois dalam merealisasikan transformasi pendigitan pentadbiran cukai. Kerajaan akan sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancer," ujarnya.
Berhubung soalan aspek ujian keberkesanan portal MyInvois dan API, Amir Hamzah berkata, kerajaan telah menjalankan Projek Rintis pelaksanaan e-Invois sejak bulan Mei 2024 yang melibatkan lebih 90 syarikat rintis daripada pelbagai jenis industri.
Katanya, projek rintis ini memberi ruang kepada Kerajaan dan industri untuk sama-sama mengenal pasti isu teknikal dan menambah baik sistem e-Invois dengan mengambil kira semua aspek yang diperlukan dari semasa ke semasa.
"Ini termasuklah dengan melaksanakan pengujian ke atas penyerahan dan penerima masa sebenar dalam persekitaraan pengujian dan produksi e-Invois yang melibatkan tempoh masa kurang daripada 2 saat," jelasnya.
Menjawab soalan asal Noraini, beliau berkata, dalam memastikan faktor keselamatan terpelihara, LHDN juga sentiasa komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa melalui pensijilan seperti Information Security Management System dan Business Continuity Management System serta piawaian lain yang berkaitan pengurusan dan keselamatan data.
Menurut Amir Hamzah, untuk melindungi data e-Invois daripada capaian, pengubahsuaian, kehilangan atau pendedahan yang tidak dibenarkan, LHDN akan melaksanakan langkah-langkah keselamatan siber sejajar dengan piawaian industri yang sesuai termasuk enkripsi, pengesahan, kawalan capaian, firewall dan sebagainya.
"LHDN akan sentiasa menyemak dan menambah baik amalan perlindungan data secara berterusan berdasarkan aktiviti pemantauan dan audit secara berkala untuk mengenal pasti dan menangani sebarang kekurangan, kelemahan atau peluang untuk penambahbaikan dalam dasar-dasar perlindungan data, kawalan, prestasi atau insiden," katanya.- DagangNews.com