5 syarikat telekomunikasi perkenal Pakej Perpaduan Prabayar Mudah Alih serendah RM30 mulai 28 Februari 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

5 syarikat telekomunikasi perkenal Pakej Perpaduan Prabayar Mudah Alih serendah RM30 mulai 28 Februari 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Dalam menyahut pengumuman kerajaan mengenai Pakej Perpaduan Prabayar Mudah Alih (Pakej Perpaduan) baru-baru ini, sebanyak 5 syarikat telekomunikasi akan memperkenalkan pelan prabayar internet mudah alih khas kepada orang ramai yang layak berkuat kuasa 28 Februari hingga 31 Disember 2023.

 

Lima syarikat terbabit, termasuk CelcomDigi, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES). 

 

Syarikat-syarikat tersebut dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan, Pakej Perpaduan ini didatangkan dengan kelajuan kuota data 3Mbps dan 30GB dengan kadar serendah RM30 untuk 6 bulan.

 

"Pakej Perpaduan Prabayar Mudah Alih ialah inisiatif kerajaan dengan penyedia telekomunikasi Malaysia yang disasarkan kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, khususnya belia di bawah umur 30 tahun, warga emas, veteran badan beruniform, orang kurang upaya dan golongan B40. 

 

"Inisiatif terbaharu ini, yang akan menggantikan Pakej Remaja sedia ada, adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menyokong keperluan ketersambungan mereka," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, pengendali telco komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses internet yang mudah dan berpatutan.

 

"Pelanggan digalakkan untuk meneroka pelan ini dengan pembekal perkhidmatan masing-masing sebaik sahaja inisiatif itu dilancarkan," katanya.

 

Maklumat lanjut mengenai Pakej Perpaduan kini boleh didapati di laman web syarikat telekomunikasi masing-masing. - DagangNews.com