407,097 calon hadapi peperiksaan SPM bermula Rabu ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

407,097 calon hadapi peperiksaan SPM bermula Rabu ini

SPM 2021 akan dilaksanakan mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini - Foto Bernama

PUTRAJAYA 28 Feb - Ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, akan dilaksanakan mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini membabitkan seramai 407,097 calon.

 

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya, berkata seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut dan sebanyak 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara terlibat.

 

"Semua calon diingatkan merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung," kata KPM.

 

Semua calon diingatkan agar membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

 

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) menerusi http://lp.moe.gov.my.

 

Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak COVID-19, lapor Bernama.

 

Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.

 

Terdahulu, KPM turut memantau situasi banjir di Pantai Timur dan telah merangka pelan tindakan bagi memastikan peperiksaan SPM 2021 akan berjalan dalam keadaan selamat dan teratur.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan, dalam apa jua keadaan, calon peperiksaan di Terengganu dan Kelantan boleh berhubung dengan guru kelas atau setiausaha peperiksaan di sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

KPM akan mengeluarkan kenyataan media bagi membei penjelasan lanjut berhubung perkara itu. - DagangNews.com