1,310 keluarga terima sumbangan Yakult, Islamic Relief Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

1,310 keluarga terima sumbangan Yakult, Islamic Relief Malaysia

Salah seorang penduduk (tengah) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak menerima sumbangan program Rezeki Ramadan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Seramai 1,310 buah keluarga menerima sumbangan minuman probiotik Yakult dan barangan keperluan asas menerusi program edaran pek makanan Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia.

 

Sumbangan itu telah diedarkan sejak 27 Mac hingga 17 April melibatkan 9 negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kedah, Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur dan Sarawak.

 

Setiap keluarga dibekalkan dengan dua pek minuman Yakult Ace dan Yakult Ace Light selain menerima bantuan khusus pek makanan Rezeki Ramadan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, kurma, gula, uncang teh dan lain-lain.

 

Pengurus Kanan Jabatan Sains dan Perhubungan Awam Yakult, Lim Siew Ling berkata, Yakult sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat dan pengguna meningkatkan tahap kesihatan mereka agar menjadi lebih baik.

 

“Memandangkan Islamic Relief Malaysia sentiasa aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu golongan memerlukan, kami lihat ia selari dengan falsafah korporat Yakult yang juga ingin membantu masyarakat, namun kami lebih khusus kepada sudut kesihatan.

 

“Pemilihan edaran dibuat ketika bulan Ramadan kerana kebanyakan orang cenderung untuk mengalami gangguan penghadaman seperti sembelit disebabkan oleh perubahan corak pemakanan. 

 

"Jadi, probiotik Yakult ini dapat membantu untuk mengelakkan ketidakhadaman, sembelit dan kembung perut yang biasa dialami semasa bulan Ramadan, seterusnya melengkapkan lagi sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan yang sedia ada diedarkan oleh Islamic Relief Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

yakult

 

 

yakult

 

 

yakult

 

 

Inisiatif ini juga dilihat secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada golongan rentan untuk turut sama menikmati dan mendapatkan khasiat baik daripada setiap barangan yang diberikan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin pula berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda disusuli dengan bencana banjir, terlalu ramai penduduk yang terjejas daripada segi pendapatan. 

 

"Jadi, Islamic Relief Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam membantu mereka yang memerlukan seperti mana yang telah dilaksanakan dengan pihak Yakult.

 

“Kami percaya, kehadiran Yakult dan sumbangan yang disertakan bersama pek makanan Rezeki Ramadan yang telah diedarkan pastinya memberi banyak nilai tambah serta membawa kegembiraan berganda kepada para penerima manfaat yang semuanya daripada golongan B40 dan ke bawah,” katanya.

 

Secara keseluruhan, Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan pek makanan kepada lebih 6,000 keluarga di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur di bulan Ramadan serta bekerjasama dengan pelbagai badan korporat dan penyumbang individu untuk menjayakan program bermusim ini. - DagangNews.com