110 usahawan IKS terlibat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

110 usahawan IKS terlibat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu

Sukarelawan giat melakukan persiapan menjelang Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung pada 2 hingga 4 Jun ini di Kompleks Sukan Negeri Terengganu ketika tinjauan hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Seramai 110 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Terengganu akan terlibat dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, pada 2 hingga 4 Jun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Mohd Rashdan Muda berkata, kesemua usahawan tersebut akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung.

 

"Lebih istimewa, pelbagai demonstrasi masakan akan dipersembahkan kepada pengunjung oleh usahawan makanan tradisional Terengganu antaranya menu kerutuk itik, kuih qasidah, jala emas dan kuih bekang.

 

"Selain itu, kita juga menampilkan seorang usahawan batik untuk membuat demonstrasi penghasilan pakaian kebanggaan rakyat Terengganu. Ini adalah peluang terbaik untuk usahawan memperkenalkan produk keluaran mereka kepada pengunjung terutama dari luar Terengganu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 

Selain itu, beliau berkata, YPU juga akan membuka gerai pameran untuk memberi pendedahan kepada bakal usahawan mengenai geran, pembiayaan dan pinjaman yang boleh mereka manfaatkan sekiranya mahu menceburi bidang perniagaan.

 

“Kita akan beri penerangan kepada bakal usahawan mengenai khidmat bimbingan yang kita sediakan agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan visi dan misi yang tepat untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi.

 

“AKM ini adalah platform tepat untuk pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan keusahawanan kerana kami sedia membantu mereka mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai visi kerajaan ke arah masa depan yang lebih sejahtera," katanya.

 

Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

 

Objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep AKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan 'keterangkuman', 'kebersamaan' dan 'kesyukuran'. - DagangNews.com