Barisan Kabinet baharu masih jauh dari `kepimpinan elit' - Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 18 December 2023

BARISAN KABINET BAHARU MASIH JAUH DARI ‘KEPIMPINAN ELIT’

Sin Chew Jit Poh 13 & 17 Disember 2023

 

 

 

ROMBAKAN kabinet yang ditunggu-tunggu akhirnya dapat dimuktamadkan. Sudah tentu ada yang gembira kerana dipilih memegang jawatan menteri dan boleh menikmati kegemilangan.

 

Ada juga yang bersedih kerana terpaksa mengemas meja berpindah di tempat baru dan ada juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal Putrajaya.

 

Selepas setahun Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerintah, akhirnya rombakan kabinet dilakukan.

 

Walaupun ia bukanlah rombakan drastik ‘buang yang buruk dan simpan yang baik’, tetapi susunan baru ini pastinya kelihatan lebih padu meskipun tiada sebarang kejutan.


 

iktisad

 


Lantik Menteri Kewangan II tanpa latar belakang politik

Rombakan kabinet ini telah membuat beberapa pemindahan dan pelantikan penting. Antara yang paling menjadi perhatian iaitu jawatan Menteri Kewangan II, disandang oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah.

 

Semasa Anwar membentuk kabinet tahun lalu, beliau juga memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan, yang mana kedua-duanya adalah jawatan yang sangat penting. Sebagai PM, beliau perlu mengemudi dalam rejim yang tidak stabil dan mesti mengimbangi dasar dan politik.

 

Sebagai Menteri Kewangan pula, beliau memikul tugas penting untuk meningkatkan ekonomi negara dan mengurangkan beban kehidupan rakyat, tetapi tidak terlepas daripada pertimbangan politik.

 

Sepanjang tahun lalu, pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah begitu baik dalam keadaan ekonomi global mengalami kemelesetan.

 

Kenaikan harga barang menyebabkan orang ramai mengeluh dan satu-satunya cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah dengan mengagihkan bantuan.

 

Langkah kerajaan ini telah disifatkan sebagai populis, bukan sahaja menggalakkan kebergantungan rakyat tetapi juga menambahkan beban perbendaharaan negara.

 

Sebagai seorang ahli politik, tidak dapat mengelak daripada berfikir dari sudut politik tetapi cara ini tidak dapat menangani masalah ekonomi negara secara profesional.

 

Seperti kata Anwar, Kementerian Kewangan yang diketuai oleh beliau mestilah pasukan profesional yang menumpukan kepada ekonomi dan mengelak tekanan politik.


 

 Amir Hamzah
                                            Amir Hamzah

 


Justeru itu, pelantikan Amir Hamzah seorang usahawan tanpa parti sebagai Menteri Kewangan II, pastinya Anwar mengharapkan dapat mengurangkan beban beliau.

 

Tanpa campur tangan politik dan menggunakan kaedah pengurusan yang lebih profesional untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang betul. Pelantikan Amir Hamzah juga merupakan sorotan terbesar dalam rombakan kabinet ini.

 

Menteri Kesihatan yang lebih berani dan tegas

Satu lagi kemuncak rombakan kali ini adalah kembalinya bekas Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad mengambil alih semula jawatan. Pasti ramai yang bertepuk tangan dan memuji PM kerana membuat keputusan yang betul.

 

Prestasi bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa sepanjang tahun lepas biasa-biasa sahaja, malah ramai orang tidak ingat nama dan rupa beliau. Rombakan kali ini, Zaliha telah beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

Dzulkefly Ahmad pernah memegang jawatan Menteri Kesihatan semasa era pemerintahan Pakatan Harapan, kebetulan pada masa itu wabak COVID-19 menular. Jadi prestasi beliau terpahat di ingatan orang ramai, maka pelantikan semula amat dinantikan.


 

Dr. Zaliha Mustafa
                           Dr. Zaliha Mustafa

 


Oleh kerana kes wabak COVID-19 kembali meningkat, kita yang pernah berdepan kesukaran selama tiga tahun mungkin akan menghadapi cabaran besar sekali lagi.

 

Jadi, negara amat memerlukan seorang menteri kesihatan yang berpengalaman, profesional, berani dan tegas melaksanakan dasar yang boleh memberikan keyakinan kepada rakyat.

 

Kementerian Pendidikan masih jadi tumpuan masyarakat Cina

Sementara itu bagi Kementerian Pendidikan yang sama pentingnya, Fadhlina Sidek masih kekal memegang jawatan tersebut. Manakala jawatan timbalan menteri telah digantikan oleh Ahli Parlimen DAP Taiping, Wong Kah Woh menggantikan Lim Hui Ying yang ditukarkan ke Kementerian Kewangan.


 

Wong Kah Woh
                            Wong Kah Woh


 

Dapat dilihat, Anwar masih terikat atas pertimbangan politik dan tidak boleh melantik golongan elit akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebagai menteri seperti yang dilakukan dengan pelantikan Menteri Kewangan II.

 

Masyarakat Cina sentiasa memberi perhatian kepada individu yang akan meneraju Kementerian Pendidikan. Sama ada menteri itu berilmu dan berpandangan jauh, dasar dan sikap juga akan mempengaruhi perkembangan pendidikan Cina.

 

Jawatan timbalan secara tradisinya akan dipegang oleh kaum Cina, mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mempertahankan survival pendidikan Cina. Pelantikan Wong Kah Wah sebagai timbalan, nescaya akan tetap memainkan peranan untuk ‘memadamkan api’ dalam isu pendidikan Cina.

 

Masalah guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK); serta isu pengajaran dan pembelajaran subjek matematik dan sains dalam bahasa Inggeris semakin serius. Jelas sekali bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying tidak dapat mengatasi masalah ini.

 

Anwar mungkin tidak dapat memberi perhatian kepada isu-isu ini, tetapi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook adalah seorang ahli politik yang cepat bertindak. Jadi salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ialah, DAP menggantikan Lim Hui Ying dengan Wong Kah Wah yang lebih berkebolehan.


 

Lim Hui Ying
                                  Lim Hui Ying

 


Jadi sebagai wakil kepada keluarga Lim Kit Siang, ke mana hala tuju Lim Hui Ying? Keseimbangan adalah penting dalam politik, jadi meletakkan Lim Hui Ying dalam Kementerian Kewangan adalah keputusan bijak bagi Anthony Loke.

 

Kementerian Kewangan adalah nama yang besar, tetapi terdapat dua menteri kewangan yang sangat berwibawa. Jadi sudah tentu kuasa timbalan menteri adalah sangat terhad atau samar-samar.

 

Jawatan ‘Timbalan Menteri Kewangan’ sedap didengar, tetapi tiada platform atau peranan penting untuk ditunjukkan, jadi tiada peluang untuk melakukan kesilapan dan kejanggalan. Berbeza dengan jawatan timbalan menteri pendidikan, yang memainkan peranan sangat pentingan dalam pendidikan Cina.

 

Tiada kejutan besar

Tidak banyak kejutan dalam rombakan kabinet ini, hanya seorang menteri dan dua timbalan menteri yang digugurkan.

 

Bagaimanapun, rombakan ini adalah perlu kerana Kerajaan Perpaduan tidak menunjukkan hasil yang cemerlang tahun ini. Jadi sudah tiba masanya untuk menyusun semula barisan dan menyuntik darah baru untuk memberi tenaga kepada seluruh pasukan.

 

Malangnya penyusunan semula ini belum cukup kuat. Walaupun beberapa menteri yang berkebolehan diperkenalkan, namun beberapa menteri yang berprestasi hambar masih dikekal.

 

Mereka ini mungkin akan mengheret prestasi keseluruhan kabinet dan menyebabkan kerajaan kehilangan mata. Barisan kabinet baru masih jauh dari ‘kepimpinan elit’. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 13 & 17 Dis, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

parafrasa

 

Portfolio Tags