AmInvestment semak naik unjuran pendapatan Berjaya Food sebanyak 34% untuk FY22 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak naik unjuran pendapatan Berjaya Food sebanyak 34% untuk FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - AmInvestment Bank Research menyemak naik unjuran pendapatan Berjaya Food Berhad sebagai pilihan utama sektor itu dengan jangkaan jualan dan margin keuntungan kumpulan itu akan terus meningkat.

 

"Kami menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 34% untuk FY22F, 42% untuk FY23F dan 51% untuk FY24F.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi iaitu RM5.05 berbanding RM3.30," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pendapatan menerusi jenama Starbucks Malaysia menyumbang 96% daripada keuntungan bersih kumpulan pada FY22 dan ia dijangka berdaya tahan dengan kadar pengekalan pelanggan yang tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu juga berjaya menarik minat pelanggan dengan menukar format pendekatan cawangan dan memanfaatkan perkhidmatan pihak ketiga serta perubahan dalam program ganjaran kesetiaan pelanggan.

 

"Dengan memanfaatkan jenama Starbucks yang kukuh, kami percaya Berjaya Food secara relatifnya berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk bersaing dalam mengekalkan pelanggan di bawah persekitaran inflasi semasa berbanding pesaingnya.

 

"Kumpulan sasaran Starbucks yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana hingga tinggi mempunyai tabiat perbelanjaan yang lebih berdaya tahan untuk mengimbangi peningkatan kos sara hidup," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga mengambil langkah aktif untuk mempelbagaikan tawaran Kenny Rogers Roasters (KRR) dan francais baharu Paris Baguette dilihat sebagai tambahan positif kepada mereka.

 

"Strategi kumpulan untuk membuka lima cawangan setahun 50 kedai dalam 10 tahun akan mengelakkan potensi pelaburan berlebihan sambil memberi peluang kepada pengguna tempatan untuk mengembangkan selera terhadap jenama Paris Baguette," katanya. - DagangNews.com