AmInvestment jangka harga bahan binaan kekal tinggi akibat konflik berterusan Rusia-Ukraine | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka harga bahan binaan kekal tinggi akibat konflik berterusan Rusia-Ukraine

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan harga bahan binaan kekal tinggi didorong oleh konflik Rusia-Ukraine yang mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan.

 

Firma itu berkata,menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), harga bar keluli meningkat sebanyak 11% kepada RM3,450 satu tan pada Mei 2022 berbanding RM3,100 satu tan pada Mei 2021.

 

Jabatan Perangkaan melaporkan harga simen melonjak sebanyak 10% kepada RM18.81 setiap 50kg pada Mei 2022 daripada RM17.15 bagi setiap 50kg pada Mei 2021.

 

"Klausa variasi harga (VOP) diperkenalkan semula untuk kontrak kerajaan pada Julai 2021 yang membolehkan kontraktor membuat tuntutan terhadap turun naik kos kerana kebanyakan projek swasta tidak mempunyai peruntukan sedemikian untuk pesanan variasi.

 

"Walaupun kontraktor dapat menggabungkan kenaikan kos untuk projek baharu dalam bentuk peningkatan nilai kontrak, kos yang lebih tinggi masih akan membawa kepada modal kerja yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keadaan fiskal kerajaan dibebani oleh kesan ekonomi pandemik dan perbelanjaan bantuan besar-besaran untuk menampung kesannya.

 

Bagaimanapun firma itu percaya, pelancaran projek infrastruktur awam kemungkinan besar akan menggunakan struktur pembiayaan swasta yang akan mengurangkan perbelanjaan modal kerajaan.

 

"Ia bermaksud kontraktor utama perlu mengambil risiko lebih tinggi untuk mengambil bahagian dalam pembiayaan projek," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor pembinaan kesan daripada kenaikan harga bahan binaan, penangguhan projek mega dan peningkatan risiko operasi berdasarkan model pembiayaan hibrid.

 

"Kami mungkin akan menaikkan penarafan sektor itu kepada 'overweight' sekiranya tekanan kos bahan binaan menurun dan kerajaan mengambil keputusan melaksanakan projek infrastruktur awam utama," katanya. - DagangNews.com