DagangNews.com
Subsidi bersasar, tarif tinggi, kos hidup: Ke mana hala tuju dasar ekonomi?
Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria
Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00% buat kali ke-10 berturut-turut.
Bersama naratif pertumbuhan ekonomi 4.5% hingga 5.5%, inflasi terkawal pada kadar 1.8%, dan eksport kukuh, laporan ini kelihatan sempurna, cukup untuk mencipta tajuk utama yang memukau.
Di atas kertas, semuanya tampak seperti kisah kejayaan. Realitinya? Hanya kosmetik untuk menutup realiti pahit yang dialami rakyat setiap hari.
Statistik ini mungkin indah untuk didengar, tetapi hakikatnya, statistik tidak membayar bil elektrik. Angka-angka ini tidak membeli beras, tidak mengisi minyak masak di dapur, dan pastinya tidak menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi yang kian melebar.
Ketika kerajaan terus bersandar pada angka untuk membuktikan kejayaan, rakyat terpaksa berdepan dengan realiti hidup yang semakin menghimpit.
Tahun 2025 menjadi saksi bagaimana retorik statistik bertembung dengan dapur kosong dan poket yang semakin menipis, dan harapan yang perlahan-lahan pudar.

Harga Rumah: Dari Keperluan Asas ke Fantasi yang Tidak Realistik
Harga purata rumah di Malaysia kini mencecah RM428,000 – angka yang mustahil untuk dicapai oleh rakyat dengan pendapatan median RM2,500 sebulan atau RM30,000 setahun.
Nisbah harga rumah kepada pendapatan kini berada pada 7.6 kali ganda, jauh melebihi paras mampu milik (3 hingga 4 kali).
Lebihan rumah tidak terjual pula bernilai RM17.5 bilion, dengan majoritinya adalah rumah mewah berharga lebih RM500,000 – dibina untuk segelintir elit, bukan rakyat biasa.
Generasi muda menjadi mangsa terbesar, dengan hampir 40% masih tinggal bersama keluarga kerana pemilikan rumah telah menjadi mimpi yang tidak lagi realistik.
Masalah ini bukan kekurangan rumah tetapi kegagalan dasar yang terus mengabaikan permintaan untuk rumah mampu milik.
Pemaju lebih fokus kepada keuntungan, sementara sistem yang ada hanya memastikan segelintir menikmati manfaat, manakala majoriti rakyat terus terpinggir.
Subsidi Bersasar: “Singaporean” Tetap Isi RON95
Dasar subsidi bersasar diperkenalkan atas nama keadilan, tetapi pelaksanaannya jauh daripada realiti. Harga minyak masak 5kg kini mencecah RM34, telur RM0.42 sebiji, dan ayam RM10.50 sekilogram – beban tambahan kepada rakyat.
Walaupun harga RON95 kekal pada RM2.05 seliter, cadangan menstrukturkan semula subsidi bahan api berpotensi menyebabkan harga pasaran mencecah RM3.70 hingga RM4.00 seliter bagi golongan bukan B40.

Golongan M40, yang menjadi tulang belakang ekonomi, kini berada dalam dilema: tidak layak mendapat subsidi tetapi tidak cukup kaya untuk menyerap kenaikan kos sara hidup.
Dengan 60% pendapatan mereka digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, pengangkutan, dan utiliti, dasar ini bukan sahaja melemahkan kuasa beli tetapi turut menekan ekonomi domestik secara keseluruhan.
Tarif Elektrik: Kos Keperluan yang Menjadi Beban Tambahan
Kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2% pada Julai 2025, daripada 39.95 sen/kWh kepada 45.62 sen/kWh, menjadi satu lagi pukulan kepada rakyat.
Kerajaan mendakwa bahawa 85% isi rumah tidak akan terkesan, tetapi untuk pengguna domestik yang menggunakan lebih daripada 1,500 kWh sebulan, bil elektrik mereka meningkat antara 15% hingga 20%.
Perniagaan kecil dan sederhana (PKS) turut terjejas dengan kos operasi yang meningkat sehingga 12%. Ini memaksa mereka menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, yang akhirnya dibayar oleh rakyat biasa.
Dalam konteks ini, alasan kerajaan bahawa kenaikan ini untuk “mencerminkan kos sebenar penjanaan tenaga” tidak lebih daripada cubaan memanipulasi logik.
Hakikatnya, rakyat sudah membayar cukai, dan kini mereka terpaksa membayar lebih untuk satu keperluan asas yang sepatutnya dilindungi.
Beras? Beras Tempatan Disorok Bunian, Jadi Terpaksa Import
Beras, makanan ruji rakyat Malaysia, kini menjadi simbol kegagalan ketahanan makanan negara. Harga beras tempatan telah melonjak sebanyak 36%, daripada RM2.60 kepada RM3.50 sekilogram.
Pergantungan Malaysia kepada import dari Thailand, Vietnam, dan India kini mencecah hampir 30% daripada bekalan domestik. Pada 2024, kekurangan bekalan global menyebabkan harga beras import melonjak sebanyak 20%, menambah tekanan kepada pengguna tempatan.
Pekebun kecil padi yang menghasilkan beras tempatan terus bergelut dengan kos input yang meningkat. Harga baja melonjak 25%, manakala racun serangga meningkat 18%, menyebabkan margin keuntungan mereka semakin kecil.

Dengan purata hasil padi sebanyak 4.5 tan per hektar – jauh di belakang Thailand (6.2 tan) dan Vietnam (7.1 tan) – pekebun kecil Malaysia tidak hanya terpinggir tetapi dihimpit dalam sistem yang tidak menyokong mereka.
Kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion untuk subsidi padi, tetapi ketirisan dan kelemahan pengurusan menyebabkan bantuan ini tidak sampai sepenuhnya kepada mereka yang memerlukan. Ketika makanan ruji pun tidak dapat dijamin untuk rakyat, apakah makna kestabilan ekonomi?
Kenaikan Harga Kereta CKD: Beban Baharu yang Menanti
Semakan duti eksais berdasarkan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) untuk kereta pemasangan tempatan (CKD) yang dijangka berkuat kuasa Januari 2026 bakal meningkatkan harga kereta CKD antara 10% hingga 30%.
Langkah ini memasukkan kos pentadbiran, pemasaran, dan keuntungan ke dalam OMV, yang sebelumnya hanya merangkumi kos pembuatan.
Bagi rakyat yang sudah bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan ini hanya menambah satu lagi lapisan beban. Kereta, yang menjadi keperluan di negara dengan pengangkutan awam yang tidak efisien, kini semakin sukar untuk dimiliki.
Industri automotif juga akan terkesan, dengan pengguna yang semakin berhati-hati dalam perbelanjaan besar akibat tekanan ekonomi.
Inflasi Perubatan dan Kenaikan Premium Insurans: Satu Lagi Beban Tambahan
Inflasi perubatan dijangka melonjak kepada 10% hingga 15% pada 2025, dipacu oleh kos rawatan hospital, harga ubat-ubatan, dan teknologi perubatan baharu.
Sebagai contoh, kos rawatan kanser di hospital swasta kini mencecah RM150,000 hingga RM400,000 – jumlah yang mustahil untuk ditanggung oleh majoriti rakyat.
Pada masa yang sama, premium insurans kesihatan meningkat sehingga 20%, menjadikan perlindungan kesihatan di luar capaian golongan B40 dan semakin menekan golongan M40.
Statistik menunjukkan hanya 22% rakyat Malaysia memiliki perlindungan insurans kesihatan yang mencukupi, manakala selebihnya bergantung kepada hospital awam yang sudah terlebih beban.

Indah Bukan? Malangnya, Statistik Tidak Membeli Beras, Kestabilan Tidak Membayar Bil
Mari kita bercakap secara terus terang, berpijak pada bumi yang nyata – statistik ekonomi yang dihias indah ini adalah ibarat sebuah ilusi yang hanya memberi ketenangan kepada mereka yang duduk di atas kerusi empuk, sambil memandang ke bawah dengan penuh rasa puas.
Pertumbuhan KDNK 5.5%? Inflasi 1.8%? Eksport kukuh? Semua ini hanyalah kosmetik data yang tidak bermakna kepada seorang ibu yang terpaksa memilih antara membeli beras atau membayar bil elektrik.
Apa gunanya kestabilan OPR jika ia hanya bermakna kestabilan untuk bank dan korporat besar, sedangkan rakyat terpaksa menggadai masa depan mereka untuk bertahan hari ini?
Malaysia tidak lagi bercakap tentang ekonomi yang berkembang, tetapi ekonomi yang menghukum.
Jadi, teruskanlah menghitung statistik dan mencipta angka-angka pertumbuhan. Tetapi ingat, statistik tidak akan mengisi periuk yang kosong, tidak akan membayar bil elektrik, dan tidak akan menghentikan ketidakseimbangan yang semakin melebar.
Jika sistem ini tidak berubah, maka kita tidak perlu bimbang tentang masa depan ekonomi negara – kerana masa depan itu sudah dirompak sebelum ia tiba. - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

