100,000 Veteran ATM disasar jadi usahawan digital di MyVeteranMall | DagangNews Skip to main content

100,000 Veteran ATM disasar jadi usahawan digital di MyVeteranMall

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Dis - Lebih 100,000 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasar menjadi usahawan digital menerusi aplikasi MyVeteranMall yang disediakan khas buat mereka dan ahli keluarga.

 

Aplikasi itu adalah inisiatif Kementerian Pertahanan menerusi Jabatan Hal Ehwal Tentera (JHEV) ATM dengan kerjasama MIDC Technology Sdn. Bhd. yang bertujuan untuk memberikan kemudahan dan peluang keusahawanan secara digital kepada komuniti Veteran ATM bagi menambah baik status sosio-ekonomi mereka melalui pelbagai aktiviti seperti e-Info, e-Dagang dan e-Servis.

 

MyVeteranMall ini dibangunkan dan diurus oleh MIDC Technology Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Edaran Bhd, pembekal utama perkhidmatan dan penyelesaian IT negara.

 

MIDC Technology akan menyedia dan mengurus khidmat bayaran elektronik dan transaksi dalam talian termasuk memudahkan e-Dagang, e-Servis dan lain-lain perkhidmatan atas talian yang ditawarkan MyVeteranMall.

 

Edaran dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengajar para veteran mengenai sistem cara menguruskan kedai maya mereka selain cara meletakkan harga serta menggunakan kemudahan yang disediakan dalam sistem itu.

 

Katanya, sistem yang digunakan adalah lebih mudah bebranding platform e-Dagang lain yang berada di pasaran dan ia tidak melibatkan penyertaan orang awam.

 

veteran

 

"Sekarang ini kami sedang dalam fasa menarik meraka untuk berniaga di sini, sasaran awal kami adalah 100,000 orang tetapi hakikatnya jumlah Veteran ATM melebihi jumlah itu.

"Buat masa ini ada lebih 500 usahawan di dalam MyVeteranMall dengan hampir 700 barang diniagakan.

 

veteran

"Edaran akan memberikan latihan sepenuhnya bermula daripada penyediaan kedai hingga proses penghantaran. Sebahagian daripada hasil diperoleh mereka akan dimasukkan ke Tabung Pahlawan," katanya bersempena dengan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

veteran

 

MyVeteranMall dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz pada 30 November lalu. - DagangNews.com