KUALA LUMPUR 14 Julai – Fibromat (M) Bhd meraih subkontrak bernilai kira-kira RM140 juta bagi projek pembinaan Jalan Akses ke Limpaku Pinang di Limbang, Sarawak, sekali gus meningkatkan nilai buku tempahan kumpulan kepada sekitar RM495 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, MTS Fibromat (M) Sdn. Bhd., daripada Hexatrend Sdn. Bhd., dengan Surat Setuju Terima diterima pada 14 Julai 2026.
Projek itu dijangka siap menjelang 11 Jun 2029 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta keuntungan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Penganugerahan kontrak tersebut turut mengukuhkan momentum pertumbuhan Fibromat selepas berjaya dipindahkan ke Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2025.
Dengan buku tempahan mencecah hampir RM500 juta, kumpulan kini mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.
Inisiatif Pembangunan Infrastruktur Utama
Projek Jalan Akses ke Limpaku Pinang merupakan antara inisiatif pembangunan infrastruktur penting di Bahagian Limbang yang bertujuan meningkatkan akses dan kesalinghubungan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi di utara Sarawak.
Skop kerja melibatkan pembinaan kira-kira 13.9 kilometer jalan baharu, jalan perkhidmatan, tiga jambatan lengkap dengan lampu jalan berkuasa solar, sistem saliran, kerja-kerja kejuruteraan geoteknik, pemasangan perabot jalan, pemindahan utiliti serta kerja-kerja perlindungan alam sekitar.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Fibromat, Danny Ng Kian Boon, berkata projek itu mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan kejuruteraan dan rekod pelaksanaan projek syarikat.
"Anugerah ini bukan sahaja mengukuhkan buku tempahan kami, malah mempercepatkan strategi pengembangan di Malaysia Timur yang menawarkan peluang pertumbuhan jangka panjang hasil peningkatan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dengan kepakaran dalam kejuruteraan geoteknik, pasukan projek yang berpengalaman serta armada peralatan yang terus berkembang, Fibromat yakin mampu melaksanakan projek mengikut piawaian kualiti, keselamatan dan alam sekitar yang ditetapkan.
Menurutnya, projek itu juga dijangka mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham menerusi pertumbuhan pendapatan yang mampan.
Fibromat merupakan penyedia penyelesaian kejuruteraan geoteknik bersepadu yang mempunyai kepakaran dalam kawalan hakisan, geosintetik, penambahbaikan tanah dan pembinaan infrastruktur.
Kumpulan mengendalikan model perniagaan bersepadu merangkumi aktiviti pembuatan, perdagangan, khidmat nasihat teknikal serta pelaksanaan projek bagi pelanggan sektor awam dan swasta. - DagangNews.com








