KUALA LUMPUR 14 Julai – P.A Resources Berhad (PARB) mencatat pencapaian terbesar dalam sejarah kumpulan selepas memperoleh lanjutan perjanjian bekalan bernilai RM1.31 bilion daripada First Solar Inc, First Solar Malaysia Sdn Bhd dan First Solar Vietnam Manufacturing Co Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PARB berkata anak syarikat milik penuhnya P.A. Extrusion (M) Sdn Bhd (PAESB) akan membekalkan komponen aluminium yang digunakan sebagai rangka atau bingkai bagi panel solar fotovolta (PV) yang dihasilkan oleh First Solar.
“Perjanjian tersebut meliputi tempoh 18 bulan bermula 1 Julai 2026 hingga 31 Disember 2027 dengan nilai kontrak berjumlah AS$322.17 juta atau kira-kira RM1.31 bilion (berdasarkan kadar pertukaran AS$1 kepada RM4.076).
“Kontrak berkenaan merupakan perjanjian bekalan kelima yang diperoleh daripada First Solar, mencerminkan hubungan jangka panjang antara kedua-dua pihak serta keyakinan berterusan terhadap kemampuan kumpulan memenuhi piawaian kualiti yang ketat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan PARB, Tan Sri Lau Kuan Kam berkata, pihaknya amat berbesar hati memperoleh kontrak berkenaan yang merupakan anugerah kontrak terbesar pernah diterima kumpulan setakat ini.
“Kejayaan mendapatkan kontrak itu dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu dan ekonomi global yang mencabar menunjukkan keyakinan First Solar terhadap kualiti produk PARB serta keupayaan kumpulan memenuhi keperluan pelanggan secara konsisten.
“Kontrak ini menyediakan asas kukuh untuk fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan selain mengukuhkan kedudukan kami dalam rantaian bekalan industri solar fotovolta (PV).
“Dengan permintaan global terhadap tenaga boleh baharu yang terus meningkat, kami kekal optimistik terhadap peluang pertumbuhan pada masa hadapan,” katanya.

Menurut PARB, perjanjian tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan, selain membantu meningkatkan kecekapan operasi menerusi perancangan pengeluaran, pengurusan bahan mentah, penggunaan tenaga kerja serta penyelarasan logistik yang lebih baik.
Dalam usaha menyokong pertumbuhan permintaan, PARB kini melaksanakan pengembangan kapasiti pengeluaran menerusi pembinaan kilang baharu di atas tanah yang baru diperoleh.
Kilang baharu itu telah memperoleh kelulusan diperlukan dan kerja pembinaan kini sedang berjalan serta dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2027.
Kemudahan tersebut dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran bulanan kumpulan daripada 3,500 tan kepada 8,500 tan, iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding kapasiti semasa yang membolehkan PARB memenuhi peningkatan permintaan pelanggan.
Tambahnya, kumpulan sentiasa meningkatkan kecekapan operasi melalui automasi dan penambahbaikan proses pengeluaran untuk menjimatkan kos serta meningkatkan produktiviti bagi memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Selain perniagaan aluminium sedia ada, PARB turut mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi kerjasama dengan rakan strategik bagi memasuki segmen sistem tingkap dan pintu melalui anak syarikatnya, P.A. Project Marketing Sdn Bhd.
Segmen baharu itu menawarkan produk dengan ciri penebatan bunyi dan haba yang lebih baik, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian bangunan cekap tenaga. Langkah tersebut dijangka membantu PARB mengurangkan kebergantungan kepada segmen sedia ada serta memperluaskan penawaran produk kumpulan. - DagangNews.com








