IPO Stratus Global terlebih langgan 128.82 kali, terima permohonan lebih RM2.6 bilion menjelang penyenaraian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Stratus Global terlebih langgan 128.82 kali, terima permohonan lebih RM2.6 bilion menjelang penyenaraian

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Julai – Tawaran awam permulaan (IPO) Stratus Global Holdings Berhad menerima sambutan yang positif dengan saham bahagian awamnya terlebih langgan sebanyak 128.82 kali.

 

Katanya, nilai keseluruhan permohonan mencecah RM2.6 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat dalam automasi kilang industri semikonduktor.

 

Kumpulan itu yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Julai 2026, berkata sambutan tersebut mengukuhkan kepercayaan pelabur terhadap peluang pertumbuhan jangka panjang.

 

"Sebanyak 45,065 permohonan diterima daripada orang awam Malaysia bagi 3.25 bilion saham IPO, berbanding 25 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur berkenaan," kata Stratus Global.

 

Tambahnya, IPO tersebut meliputi 356.25 juta saham baharu, termasuk 301.25 juta saham kepada pelabur institusi, pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh pihak kerajaan.

 

Syarikat itu turut memaklumkan 30 juta saham diperuntukkan kepada individu layak habis dilanggan, mencerminkan sokongan kukuh daripada pihak yang menyumbang kepada pembangunan kumpulan.

 

Stratus Global_DagangNews2026

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Stratus Global, Ryo Narisawa berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan pengiktirafan pelabur terhadap rekod prestasi luas syarikat tersebut.

 

"Selepas penyenaraian, kami akan terus memberi tumpuan kepada strategi pertumbuhan jangka panjang, termasuk inovasi, kapasiti operasi dan nilai mampan untuk pelanggan serta pemegang saham," katanya.

 

Dengan pengalaman selama 28 tahun, syarikat itu menyediakan rumusan hujung ke hujung meliputi reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan sistem automasi kemudahan pembuatan semikonduktor.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd, David Lim berkata, permintaan tinggi terhadap IPO Stratus Global membuktikan keyakinan pelabur terhadap kekuatan perniagaan syarikat.

 

Firma itu yang bertindak selaku penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan mengesahkan semua saham diperuntukkan kepada pelabur tertentu diluluskan berjaya dilanggan sepenuhnya. - DagangNews.com