Skip to main content

YB KJ, pengharaman rokok hanya untungkan penyeludup

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

MENGIKUT beberapa pandangan, ciri-ciri Negara Dunia Ketiga ialah dari segi bilangan perokoknya.

 

Ada yang mempertikaikan label sedemikian kerana Jepun yang merupakan negara maju, pun memiliki bilangan perokok yang ramai. Mengapa pula negara membangun senang-senang ditempek cap ke dahi Negara Dunia Ketiga?

 

Bagi anda yang tidak arif makna Negara Dunia Ketiga, ia bermaksud negara miskin, tidak maju dan lekeh. Banyak di Afrika dan Asia.

 

Apakah Malaysia pun termasuk dalam kelompok ini? Kita memiliki infrastruktur berkelas dunia. Landasan LRT menjalar panjang, lebuh raya guna RFID, pelaburan dalam kapal layar sehingga ke Hong Kong, produksi filem Hollywood beratus juta dolar, pilihan raya setiap dua bulan... tidak maju lagikah Malaysia?

 

Cuma bila dikaitkan dengan rokok, Malaysia antara negara yang bukan sahaja tinggi bilangan perokok tetapi juga bilangan rokok seludup, dan lebih memalukan, penyeludupan itu bukan setakat masuk negara ini tetapi kita jadi transit penyeludup ke negara lain seperti Australia.

 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan mencatatkan rokok sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun.

 

Katanya, kajian itu juga menunjukkan 22.8% atau 5 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok, dengan mereka yang berumur 20 hingga 54 tahun adalah perokok tertinggi, majoritinya lelaki.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan yang diterbitkan November 2021, menyatakan penggunaan tembakau dianggarkan membunuh lebih daripada 8 juta orang setiap tahun, kebanyakannya secara langsung disebabkan mereka menggunakan tembakau itu sendiri, manakala 1.2 juta lagi bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok, menurut statistik WHO.

 

Laporan hari ini juga memberi amaran jumlah kematian tahunan akan terus meningkat untuk beberapa tempoh walaupun penggunaan tembakau berkurangan 'kerana tembakau membunuh penggunanya dan orang yang terdedah kepada asapnya secara perlahan'.

 

Laporan sama turut memuji 60 negara yang komited mengurangkan penggunaan tembakau hingga 30% antara 2010 hingga 2025, berbanding dua tahun lalu ketika WHO mengeluarkan laporan hanya 32 negara menyatakan komitmen itu.

 

KJ

 

Komitmen inilah yang dilafazkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semasa menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, pada 24 Januari lalu.

 

Khairy memberi komitmen untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005.

 

‘’Seperti beberapa Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, Malaysia berharap untuk meluluskan satu undang-undang pada tahun ini yang akan membawa kepada generasi tidak merokok.

 

“Ia dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 dan Malaysia merasakan ia memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya.

 

Hari ini, dalam memperkatakan sesuatu perkara seperti rokok ini, ia tidak boleh lagi dibincangkan daripada satu sudut sahaja, apatah lagi rokok ini sudah menjadi satu daripada sumber ekonomi negara atau dalam konteks ekonomi benar, sesuatu larangan atau pengharaman boleh mendatangkan impak buruk.

 

Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) berpendapat langkah Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada rakyat Malaysia yang lahir selepas 2005, hanya akan menimbulkan kesan negatif.

 

MICCI

 

MICCI tidak boleh menerima penetapan dasar dan peraturan sewenang-wenangnya tanpa perundingan yang sewajarnya dan membuat keputusan berasaskan sains semata-mata.

 

‘’Ia boleh menimbulkan kepincangan yang juga mampu menjejaskan sektor lain.

 

‘’MICCI percaya bahawa keputusan yang terburu-buru ini mungkin menjadi menimbulkan kesan negatif yang berbalik pada kerajaan dan larangan itu akan mendorong pengguna tidak kira umur untuk beralih kepada pasaran gelap,’’ kata pertubuhan tersebut.

 

Contoh paling klasik ialah bila kerajaan menaikkan harga rokok pada 2015, dengan harapan harga mahal akan mengurangkan minat orang merokok.

 

Semua itu ternyata meleset kerana perokok beralih kepada rokok murah pula. Dan di kawasan pedalaman dan bandar yang terpencil, rokok seludup yang dijual pada harga jauh lebih murah menjadi pilihan.

 

seludup

 

Bila rokok seludup mudah diperoleh, jualan syarikat rokok pun menyusut. Harapan untuk meraih hasil cukai rokok tinggi daripada jualan rokok mahal, tidak kecapaian.

 

Pasaran gelap tembakau di Malaysia kini menguasai 57% bahagian daripada jumlah pasaran rokok menjadikan Malaysia negara nombor satu dunia bagi rokok haram.

 

‘’Ini menunjukkan bahawa duti eksais yang tinggi tidak mencapai objektifnya untuk menghalang rakyat Malaysia untuk merokok,’’ kata MICCI.

 

Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia) berkata, keadaan itu telah menyebabkan Kerajaan kehilangan RM5 bilion hasil cukai tidak dikutip setiap tahun.

 

“Bayangkan apakah kesan yang akan diperoleh dari tindakan pengharaman rokok dan produk vape?

 

‘’Sindiket jenayah akan menikmati pasaran monopoli seluruh segmen penduduk yang lahir dari tahun 2005 dan seterusnya! Kesan sosio-ekonomi untuk senario ini tidak dapat dibayangkan!,” ujar RTBA Malaysia.

 

 

RTBA

 

 

Sebelum Malaysia boleh mempertimbangkan pengharaman rokok dan produk vape dalam pasarannya, ia perlu menurunkan kelaziman rokok seludup ke tahap yang rendah melalui pembaharuan eksais dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan.

 

Di New Zealand, kelaziman rokok haram adalah di bawah 15%.  Mereka juga mempunyai program berhenti merokok yang ‘advance’ yang merangkumi e-rokok.

 

Walaupun ini adalah faktor membolehkan pelaksanaan untuk dasar Tobacco Generation End Game, hasil inisiatif ini masih jauh dari pasti dan akhirnya mungkin tidak produktif pada kemajuan yang telah dicapainya ke arah matlamat Bebas Asap rokok 2025.

 

Sejarah telah mengajar kita bahawa larangan seumpamanya sering membawa kepada kesan negatif. 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Smoke Gets In Your Eyes​ oleh The ​​​​​​Platters berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.