Yakin dengan prospek Genetec dalam segmen EV, CGS-CIMB naikkan unjuran EPS | DagangNews Skip to main content

Yakin dengan prospek Genetec dalam segmen EV, CGS-CIMB naikkan unjuran EPS

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap Genetec Technology Bhd. dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM4.30 berbanding RM4.13 selepas menyemak naik anggaran pendapatan kumpulan. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang jauh lebih tinggi sebanyak RM19.6 juta bagi suku kewangan ketiga berakhir 31 Disember 2021, berbanding keuntungan bersih RM889,000 bagi suku yang sama sebelumnya.

 
Hasil bagi suku tersebut turut mencatat peningkatan sebanyak 98.5% berjumlah RM65.3 juta, dan peningkatan 10.1% berbanding suku sebelumnya, menjadikan jumlah tahunan sebanyak RM164.9 juta untuk 9 bulan berakhir 31 Disember 2022. 

 

"Namun, kami menjangkakan jualan suku ke suku dan untung bersih Genetec yang lebih rendah pada suku keempat ini disebabkan tempoh operasi yang lebih singkat," jelas CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini.

 

Ketika taklimat kepada penganalisis selepas laporan kewangan itu, pengurusan memaklumkan telah memperoleh pesanan baharu bernilai RM60 juta menjadikan nilai kontrak meningkat kepada RM198 juta setakat ini. 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM50 juta adalah berkaitan segmen kenderaan elektrik (EV) dan skuter elektrik (ES) serta e-mobiliti manakala selebihnya adalah segmen pemacu cakera keras (HDD). 

 

Firma itu mendapati kebanyakan pesanan baharu ini adalah untuk segmen EV berkaitan barisan perintis untuk pelan pengembangan bagi pelanggan ES dari Amerika Utara di California.

 

"Kumpulan juga menjangkakan tambahan tempahan baharu dalam EV dan ES serta penyelesaian e-mobiliti dari Amerika Utara dan pelanggan automotif peringkat 1 dalam tahun kewangan 2023 (FY23). 

 

"Sehubungan itu, kami menyemak semula pendapatan sesaham (EPS) kumpulan lebih tinggi antara 3 hingga 8% bagi FY22 hingga FY24 setelah mengambil kira tambahan pesanan yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Pada masa sama, CGS-CIMB juga tertarik dengan prospek Genetec ekoran penyertaannya dalam pembangunan ekosistem EV di Thailand dengan potensi kerjasama bersama Asia Precision Public Company Limited (APCS).

 

"Syarikat ini terlibat terutamanya dalam perkhidmatan kontrak pembuatan bahagian logam ketepatan untuk pelanggan automotif. 

 

"Kami mendapati APCS membekalkan penutup pek bateri untuk pemain tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Thailand, yang kilang bateri litium-ion 1GWj di Thailand memulakan operasinya baru-baru ini," katanya. 

 

Setakat 11.03 pagi, harga saham Genetec susut 4 sen atau 1.41% kepada RM2.80 dengan 5.12 juta saham diniagakan. - DagangNews.com