Waspada penipuan ibadah korban di dalam dan luar negara | DagangNews Skip to main content

Waspada penipuan ibadah korban di dalam dan luar negara

oleh Dr. Mohamed Rashid Ab Razak

KITA baru sahaja dikejutkan dengan berita penipuan pakej haji melibatkan hampir 400 jemaah haji yang tular di media arus perdana yang merekodkan kerugian berjuta-juta ringgit.

 

Namun ia sebenarnya hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada skim-skim penipuan yang berselindung atas nama agama dan telah wujud sekian lama di negara kita.

 

Antara salah satu amalan ibadah lain yang dekat di hati masyarakat muslim di Malaysia apabila menjelang hari raya Aidiladha adalah pelaksanaan ibadah korban yang turut terdedah  dengan penipuan sebegini.

 

Ini kerana ibadah korban merupakan “ibadah maliah’ iaitu ibadah yang dilaksanakan menggunakan harta bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah dan sudah tentu terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan atas niat baik peserta korban bagi tujuan mengaut keuntungan dengan jalan yang salah.

 

Jika dilihat senario pada hari ini, terdapat banyak agensi, syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan korban di dalam dan di luar negara.

 

Pakej harga yang ditawarkan pula berbeza mengikut lokasi, jenis haiwan korban dan lain-lain lagi.

 

Jumlah agensi atau syarikat ini semakin bertambah saban tahun. Iklan yang dibuat melalui media sosial juga semakin rancak berbanding tahun-tahun yang lalu.

 

Ini secara tidak langsung menunjukkan permintaan bagi perkhidmatan ini semakin meningkat.

 

Dari sudut syara’, perkhidmatan ini sememangnya harus untuk dijalankan dan para ulama menetapkan konsep ‘wakalah’ sebagai teras dalam urusniaga perkhidmatan ini.

 

Namun begitu, kekhuatiran yang  timbul di minda penulis adalah sejauh mana pematuhan akad wakalah yang dijalankan oleh pihak pelaksana ibadah korban ini.

 

Banyak aduan

Ini kerana terdapat banyak aduan yang timbul tentang keraguan terhadap sesetengah syarikat, agensi atau individu yang hanya mengejar keuntungan semata-mata, sehinggakan mengambaikan hukum hakam dalam pelaksanaan ibadah korban.

 

Sebagai contoh, seekor lembu yang sepatutnya dikongsi oleh 7 orang peserta tetapi kongsi oleh ramai peserta bagi menjana lebih keuntungan.

 

Ada juga yang melaksanakan penyembelihan korban di luar waktu yang ditetapkan akibat terlalu banyak haiwan yang ditempah dan kekurangan tenaga kerja yang menguruskannya dan lain-lain aduan yang amat mendukacitakan.

 

Perkara sebegini sudah tentu menjejaskan keabsahan pelaksanaan ibadah korban yang diharapkan memberikan ganjaran besar bagi peserta.

 

Oleh itu, sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu bagi mengurangkan risiko penipuan dalam  pelaksanaan ibadah terutamanya ibadah korban.

 

Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah mewujudkan badan pemantau terhadap agensi, syarikat, pertubuhan atau individu perseorangan yang menawarkan perkhidmatan ini dan memperkenalkan lesen khas bagi aktiviti ini sebagaimana yang dilakukan terhadap agensi-agensi pengendali pakej haji dan umrah.

 

Peserta juga boleh mengambil langkah berikut bagi mengelakkan dari menjadi mangsa:

 

  1. Semak terlebih dahulu latar belakang syarikat yang menawarkan pakej korban dan meneliti "Profil Perniagaan", selain boleh menyemak Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) untuk pastikan maklumat akaun bank dan nombor telefon penganjur. 

    Jika keluar tanda amaran laporkan terus kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC)  untuk pastikan yang iklan tersebut disekat.

 

  1. Minta pihak penganjur menyediakan  borang wakalah yang perlu diisi terutamanya melibatkan korban di luar negara.

    Wakalah disini bermaksud seseorang (Muwakkil) melantik satu pihak yang lain (Wakil) sebagai wakilnya untuk mengendalikan urusannya. Jika terdapat  masalah boleh rujuk semula terma-terma kontrak yang sudah ditentukan.

 

  1. Boleh juga mempertimbangkan supaya memohon pihak penganjur berkongsi video rakaman atau penstriman langsung program korban yang dijalankan di luar negara bagi menambah keyakinan para peserta dan mengurangkan risiko penipuan. – DagangNews.com

 

Dr. Mohamed Rashid Bin Ab Razak merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)