Untung suku tahunan Top Glove dijangka menurun susulan ASP sarung tangan yang lebih rendah  | DagangNews Skip to main content

Untung suku tahunan Top Glove dijangka menurun susulan ASP sarung tangan yang lebih rendah 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis -  Keuntungan suku tahunan Top Glove Corp Bhd untuk suku pertama berakhir 30 November 2021 (1QFY22) dijangka dalam julat antara RM220 juta dan RM300 juta, atau 50.7% hingga 63.8% suku ke suku (qoq) lebih rendah daripada keuntungan bersih sebanyak RM607.9 juta suku sebelumnya.

 

Menurut TA Securities, anggaran keuntungan 1QFY22 yang lebih rendah adalah disebabkan oleh harga jualan purata sarung tangan (ASP) yang lebih rendah iaitu sekitar -33% dan Cukai Makmur.

 

"Selain itu, kami menjangkakan volum jualan tidak berubah kerana pelanggan akan menunggu lebih lama sekarang sebelum mengisi semula stok mereka memandangkan ASP yang semakin berkurangan,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Top Glove dijadualkan mengeluarkan keputusan 1QFY22 pada Jumaat 10 Disember 2021.

 

Pada asas tahun ke tahun (YoY), firma penganalisis itu mengunjurkan keuntungan bersih Top Glove menjunam sebanyak 87.4% ke 90.7% daripada RM2.4 bilion pada 1QFY20. 

 

Katanya, kejatuhan keuntungan dijangka datang daripada ASP yang lebih rendah sebanyak 52% dan volum jualan yang lebih rendah sebanyak 10%, katanya.

 

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan keputusan 1QFY22 Top Glove berada di bawah anggaran konsensus pada kira-kira 14.7% daripada unjuran keuntungan RM1.8 bilion untuk FY22 berakhir 31 Ogos 2022,” katanya. 

 

Sementara itu, berdasarkan semakan salurannya, TA Securities berkata pemain sarung tangan tidak melihat peningkatan dalam permintaan untuk sarung tangan walaupun terdapat kemunculan varian Omicron Covid-19.

 

Katanya perkara itu boleh dikaitkan dengan pendekatan tunggu dan lihat pelanggan untuk menilai tahap varian Omicron di tengah-tengah penurunan ASP sarung tangan. 

 

“Oleh itu, kami percaya bahawa purata kadar penggunaan loji semasa akan berlegar pada paras 60-65%, sama seperti kadar penggunaan pada Oktober,” katanya. -DagangNews.com