Untung bersih MR DIY susut kepada RM100.5 juta akibat tekanan kos | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MR DIY susut kepada RM100.5 juta akibat tekanan kos

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Mei – Untung bersih MR DIY Group (M) Bhd. bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 susut 19.5% kepada RM100.5 juta daripada RM124.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu terutamanya disebabkan perbelanjaan yang lebih tinggi apabila lebih banyak cawangan dibuka pada suku berkenaan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.  

 

Di sebalik cabaran akibat pandemik COVID-19, pendapatan kumpulan pada suku semasa meningkat 4% kepada RM905.2 juta daripada RM870.18 juta bagi tempoh sama 2021 dipacu pembukaan cawangan baharu yang meningkat sebanyak 20% kepada 947.

 

Jumlah transaksi pada suku semasa itu juga meningkat 8.1% kepada 32.3 juta daripada 29.9 juta.

 

Bagi tempoh itu, rangkaian cawangan kumpulan berkembang sebanyak 47 merentasi 3 jenama dengan 44 cawangan baharu MR DIY, 2 cawangan MR Dollar dan 1 cawangan MR Toy.

 

Setakat ini, kumpulan memiliki 841 cawangan MR DIY diikuti 51 cawangan MR Toy dan 55 cawangan MR Dollar.

 

Kumpulan merancang untuk membuka lagi 133 cawangan baharu merentasi semua jenama dalam tahun ini.

 

Aliran tunai dan imbangan tunai kumpulan kekal kukuh pada suku pertama 2022, dengan aliran tunai bersih daripada operasi berjumlah RM79.6 juta manakala nisbah penggearan bersih kekal selesa pada 0.01 kali, berkurangan dengan ketara berbanding suku pertama 2021 berikutan pembayaran balik pinjaman selanjutnya pada suku tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, kumpulan telah mencapai kemajuan yang ketara sejak 2 tahun lalu walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk pandemik, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos input dan pengangkutan serta kelemahan mata wang.

 

Bagaimanapun, katanya, kumpulan positif dengan masa depan, memandangkan negara beralih kepada fasa endemik pada 1 April lalu, penarikan semula sekatan pergerakan dan kadar vaksinasi yang tinggi.

 

"Kami yakin dalam keadaan sedemikian, kumpulan akan dapat memenuhi pertumbuhan jangka panjang dan nilai yang mampan kepada pihak berkepentingan kami," katanya. - DagangNews.com