Unit Sapura Energy dapat kontrak hampir RM3 bilion | DagangNews Skip to main content

Unit Sapura Energy dapat kontrak hampir RM3 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Sapura Energy Bhd. menerusi anak syarikat tidak langsungnya dan usaha sama dalam kejuruteraan dan pembinaan (E&C) memperoleh kontrak masing-masing dengan nilai gabungan berjumlah RM942 juta dan RM1.7 bilion. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Sapura Energy berkata, bagi anak syarikat tidak langsung, Sapura Projects Pty Ltd diberikan kontrak Spartan & SHUR Transportation dan kerja-kerja pemasangan bagi Santos WA Northwest Pty Ltd. di Australia.

 

"Kerja-kerja yang dijalankan membabitkan 2 tempoh iaitu pada suku pertama dan suku keempat tahun kalendar 2022 dan dijangka siap menjelang suku keempat 2022," katanya. 

 

Satu lagi kontrak turut membabitkan Sapura Projects Pty Ltd yang dianugerahkan Santos WA Northwest Pty Ltd. bagi kontrak FEED untuk reka bentuk, pembinaan dan pemasangan bagi Wellhead Platform untuk projek Dorado di Bedout, pesisir luar Australia Barat. 

 

Bagi kontrak ini, katanya, ia dijangka siap pada suku pertama tahun kalendar 2024. 

 

Sementara itu, bagi kontrak melibatkan usaha sama di Brazil, ia diperoleh menerusi Sapura Navegação Marítima S.A., anak syarikat milik penuh Seabras Sapura Participações S.A., syarikat usaha sama antara Sapura Offshore Sdn Bhd dan Seabras Serviços De Petroleo S.A., anak syarikat Seadrill Limited. 

 

"Ia diberi kontrak perkhidmatan dan penyewaan khas (charter) bagi operasi kapal penyangga pemasangan paip Sapura Diamante dan Sapura Topazio (PLSV) oleh Petrobas.

 

"Tempoh kontrak bagi Sapura Diamante dan Sapura Topazio ialah 3 tahun setengah dan kerja-kerja akan dimulakan masing-masing pada 1 Oktober 2021 dan 31 Januari 2022," tambahnya.

 

Sapura Energy berkata, kontrak-kontrak berkenaan tidak memberi kesan kepada terbitan modal syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan yang berkaitan ketika tempoh kontrak. - DagangNews.com