Sibuk kumpul kekayaan, tapi di mana patuh syariahnya?  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 2 August 2022

SIBUK KUMPUL KEKAYAAN, TAPI DI MANA PATUH SYARIAHNYA?

 

 

KEHIDUPAN mestilah mempunyai strategi. Asas kepada strategi ialah menurut undang-undang Islam yang dikenali sebagai syariah. 

 

Dengan menyatukan syariah bersama akidah dan akhlak, akan terbentuklah manusia yang bergelar muslim dan muslimah. 

 

Salah satu daripada strategi untuk kehidupan adalah pengetahuan untuk merancang kewangan dalam mengharungi kehidupan di dunia.

 

Pada penulis, asas kepada perancangan kewangan mestilah berkait dengan syariah - garis panduan lengkap bagi seseorang Islam untuk hidup semasa jangka hayatnya di dunia dan kehidupan di hari akhirat. 

 

Syariah yang terdiri daripada perintah, larangan, galakan dan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan Allah melalui Al-Quran dan RasulNya, Nabi Muhammad SAW amat perlu dalam strategi kehidupan. 

 

Sebenarnya syariah digunakan oleh semua umat di dunia dan ia adalah panduan umat Islam sejagat. Dan bagi mereka yang telah mempelajari syariah, adalah tidak sukar untuk mereka menyedari bahawa itulah rahmat yang dikurniakan oleh Pencipta kepada hambaNya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Pengumpulan kekayaan

 

Aktiviti utama di dalam perancangan kewangan yang berdasarkan kepada syariah adalah pengumpulan kekayaan.

 

Adalah penting untuk memahami bahawa pengumpulan kekayaan adalah merupakan satu proses yang penting untuk memastikan ia tidak salah dari segi undang-undang negara termasuk syariah. 

 

Proses pengumpulan kekayaan ini juga apabila kaedahnya diketahui, proses ini boleh diulangi oleh manusia untuk mendapatkan lebih banyak lagi kekayaan yang diredai Allah.

 

Namun begitu, dalam mengejar kekayaan, orang Islam mestilah mengikut kehendak syariah. Dia tidak boleh memiliki sebarang aset yang bukan miliknya. Strategi pemilikan asetnya mestilah mematuhi syariah sepanjang masa. 

 

Secara umumnya, orang Islam adalah dilarang terlibat dengan riba, maisir dan gharar serta melakukan sebarang perniagaan yang melanggar syariah seperti arak, pembiakan khinzir, kelab-kelab malam, pornografi, rokok dan sebagainya dalam aktiviti mengumpul kekayaan.

 

Kaedah pengumpulan kekayaan telah digaris oleh syariah dalam bidang muamalat. Dalam hal ini, kemajuan dalam industri kewangan Islam yang berpandukan undang-undang perniagaan Islam telah banyak membantu umat Islam untuk menyertai proses pengumpulan kekayaan melalui pelaburan patuh syariah.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menyucikan harta

 

Pelan untuk mengumpul sejumlah kekayaan pada usia tertentu merupakan objektif peralihan yang membawa kepada objektif lain yang lebih penting dalam tanggungjawab orang Islam. 

 

Kadang-kadang manusia lebih mengutamakan bagaimana kekayaan itu dibelanjakan dan digunakan tanpa menghiraukan halal dan haram, asalkan kekayaan tersebut kian bertambah walaupun prosesnya memudaratkan masyarakat.

 

Di dalam hal ini, aktiviti utama yang menjadi kefarduan ke atasnya adalah membayar zakat. Kaedah penyucian kekayaan ini merupakan aspek yang nyata di dalam perancangan kewangan Islam. 

 

Di dalam perancangan kewangan konvensional, tidak terdapat konsep atau keperluan untuk menyucikan kekayaan dan harta ini.

 

Pengurusan risiko juga perlu dititikberatkan dalam Islam. Dalam melindungi keluarga daripada kehilangan pendapatan oleh orang yang menjana dana keluarga, syariah menggalakkan umat Islam supaya bekerjasama berkongsi risiko melalui kontrak tabaru’ melalui takaful. 

 

Sifat tolong-menolong (taáwun) antara peserta dalam takaful adalah sifat yang mulia dan ia menyemai sifat kasih sayang antara manusia. 

 

Insurans yang dilaksanakan oleh kewangan konvensional adalah berbeza dengan takaful kerana kontrak insurans ada kontrak jualbeli yang tidak menepati syariah. 

 

Rukun-rukun jual beli dalam insurans tidak cukup, justeru, timbul isu gharar yang diharamkan dalam muamalat Islam.

 

 

gambar hiasan

 

 

Patuhi syariah dalam pembahagian kekayaan

 

Penulis menyarankan orang Islam supaya menitikberatkan pembahagian harta kerana mempunyai kaitan dengan kehidupan dunia dan juga di hari akhirat. 

 

Secara konvensional, seseorang boleh melakukan apa saja terhadap harta bendanya selepas berlaku kematian dan ini berpunca daripada pemahaman bahawa manusia adalah pemilik mutlak atas kekayaan yang diperoleh.

 

Bagaimanapun, oleh kerana orang Islam hanyalah merupakan pemegang amanah (wasi) di sisi Allah, dia perlu mematuhi syariah di dalam pembahagian kekayaan. 

 

Pemahaman tentang faraid, wasiyah, hibah dan wakaf merupakan kunci utama bagi umat Islam. 

 

Terdapat kaedah sama dalam amalan konvensional untuk perancangan pusaka tetapi objektif undang-undang sekular tidak sejajar dengan maqasid al-syariah. 

 

Objektif konvensional pada asasnya hanya menitikberatkan tentang kepentingan keluarga si mati tetapi objektif syariah perlu diasas kepada kepentingan sosio ekonomi. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags