KUALA LUMPUR 11 April - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.9% pada Februari 2022, dipacu oleh sektor pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengembangan IPP itu disumbangkan oleh kenaikan 5.2% dalam indeks pembuatan dan 3.9% dalam indeks elektrik, manakala indeks perlombongan mencatatkan kemerosotan 0.4%.
"Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 6.6% dipengaruhi oleh kejatuhan dalam kesemua komponen indeks," katanya dalam kenyataan hari ini.
Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 5.2% pada Februari 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.8% pada Januari 2022.
Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Februari 2022 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (12.8%), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.4%) dan produk makanan, minuman dan tembakau (6.6%).
Pada masa sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (6.2%) dan industri berorientasikan eksport (4.7%).
Peningkatan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler dan pembuatan produk makanan.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kimia dan produk kimia.
Katanya, prestasi sektor pembuatan itu juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
"Sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan menyusut 7.2% berbanding Januari 2022 dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutamanya dalam subsektor produk mineral bukan logam; logam asas dan produk logam yang direka dan produk makanan, minuman dan tembakau," katanya.
Output sektor perlombongan merosot 0.4% pada Februari 2022 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan kejatuhan 4.3% dalam indeks minyak mentah dan kondensat, sementara indeks gas asli berkembang 2.6%.
IPP bagi tempoh Januari hingga Februari 2022 merekodkan pengembangan 4.1% berbanding dengan tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh indeks pembuatan (6%) dan indeks elektrik (5.4%). Indeks perlombongan, sebaliknya menyusut 2.8%. - DagangNews.com








