KUALA LUMPUR 26 Sept - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Bhd. meningkat 7.9% kepada RM98.47 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, berbanding RM87.13 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disebabkan terutamanya kos pembiayaan bersih yang lebih rendah, susut nilai usut nilai aset hak guna dan hartanah, loji dan peralatan, diimbangi oleh penurunan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 13.1% kepada RM921.12 juta daripada RM1.06 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh itu, segmen televisyen mencatat pendapatan lebih rendah sebanyak RM836.3 juta berbanding RM922.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran penurunan hasil langganan, pengiklanan dan jualan hak program.
Segmen radio bagi suku semasa menyaksikan pendapatan meningkat sebanyak RM4.9 juta atau 15% berbanding suku tahun yang sama tahun lepas yang mendapat manfaat daripada momentum pemulihan dalam peralihan kepada fasa endemik.
Sementara itu, segmen beli-belah di rumah merosot sehingga 55.3% kepada RM47.1 juta berbanding RM105.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan sentimen pengguna yang lemah, perbelanjaan yang berhati-hati dan pelanggan mulai kembali ke pusat beli-belah.
Ini menyaksikan pendapatan bagi kumulatif enam bulan berakhir 31 Julai 2022 susut 11.2% kepada RM1.88 bilion daripada RM2.12 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2022, manakala untung bersih juga susut kepada RM198.48 juta daripada RM228.37 juta.
Menurut Astro, pelaburan dalam pelan transformasi kumpulan sedang dijalankan dengan memberi tumpuan kepada kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman pelanggan, data, pengiklanan bersasar dan infrastruktur teknologi untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Namun, katanya, persekitaran makroekonomi termasuk kenaikan kadar faedah, inflasi dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), dan krisis geopolitik akan terus menjejaskan isi rumah dan perniagaan.
"Oleh itu, kumpulan mengekalkan prospek berhati-hati dan akan terus memantau situasi perniagaan, di samping menguruskan kos dengan berhemah," katanya. - DagangNews.com








