Sedania As Salam raih anugerah Platform Teknologi Terbaik GIFA | DagangNews Skip to main content

Sedania As Salam raih anugerah Platform Teknologi Terbaik GIFA

KUALA LUMPUR 15 Sept - Sedania Innovator Bhd. menerusi anak syarikatnya, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd meraih anugerah Platform Teknologi Terbaik dalam Perbankan Islam & Kewangan 2022) daripada Global Islamic Finance Awards (GIFA).

 

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada As-Sidq, platform perdagangan komoditi digital hak milik Sedania As Salam yang dipaten, untuk keupayaan yang unik dan rekod prestasi yang kukuh dalam memenuhi keperluan perbankan Islam bagi sektor perkhidmatan kewangan.

 

Dengan lebih 80 institusi perkhidmatan kewangan sebagai klien dan pinjaman yang diproses melebihi RM50 bilion sehingga kini, platform As-Sidq diiktiraf dan telah berjaya memperkukuhkan kedudukan pasaran strategik untuk berkembang seiring dengan pendigitalan industri perkhidmatan kewangan.

 

Nisa Ismail
                                                  Nisa Ismail

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Nisa Ismail berkata, dengan anugerah ini, platform As-Sidq telah membuktikan keupayaannya sebagai penyelesaian perbankan digital Malaysia yang telah berjaya memenuhi piawaian antarabangsa bagi memenuhi keperluan operasi perbankan Islam dalam industri perkhidmatan kewangan.

 

"Tambahan pula, anugerah ini juga membuka jalan kepada platform perdagangan komoditi digital untuk mendapat pengiktirafan global kerana kategori platform digital ini masih dianggap sebagai satu teknologi yang agak baru dalam dunia perbankan Islam dan berpotensi untuk diadaptasikan merentasi pasaran antarabangsa. 

 

"Ia juga merupakan pengiktirafan kedua yang berjaya dirangkul oleh As-Sidq tahunini, membuktikan lagi bahawa penyelesaian perbankan Islam kami adalah inovatif dan mempunyai permintaan yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada 23 Jun lalu, Sedania As Salam telah berjaya meraih anugerah Platform Dagangan Islam Paling
Inovatif - Tawarruq 2022 daripada International Finance, majalah perniagaan dan kewangan yang berpangkalan di London. 

 

Anugerah ini mengiktiraf kebolehan inovatif platform As-Sidq dalam menyumbang secara positif ke arah pendigitalan industri perkhidmatan kewangan dengan menambah baik kemudahan transaksi pembiayaan Islam.

 

GIFA merupakan salah satu badan penganugerahan yang terkenal dari segi perbankan dan kewangan Islam di peringkat global yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing, serta sumbangan kepada kelestarian dan daya maju perbankan dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. -DagangNews.com