Purata penggunaan internet Malaysia turun kepada 4.2 jam selepas PKP | DagangNews Skip to main content

Purata penggunaan internet Malaysia turun kepada 4.2 jam selepas PKP

Internet

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Purata penggunaan internet rakyat Malaysia dilihat mengalami perubahan susulan pembukaan semula sektor ekonomi selepas tempoh kemuncak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut laporan e-Conomy Asia Tenggara 2020 yang disediakan oleh Google, Temasek dan Bain & Company (e-Conomy SEA 2020), purata penggunaan internet bagi rakyat Malaysia menurun kepada 4.2 jam sehari selepas tempoh kemuncak berkenaan.

"Rakyat Malaysia menghabiskan masa sebanyak 3.7 jam dalam talian (untuk penggunaan peribadi) sebelum berlakunya wabak COVID-19.

"Jumlah waktu itu meningkat kepada 4.8 jam pada waktu kemuncak PKP, dan kini menurun kepada 4.2 jam sehari," jelas laporan itu.

Sepanjang tempoh PKP, penduduk Asia Tenggara secara puratanya menggunakan internet sebanyak satu jam lebih lama dalam sehari.

 

 Graf purata penggunaan internet di Malaysia bagi tempoh sebelum, semasa dan selepas PKP.
Graf purata penggunaan internet di Malaysia bagi tempoh sebelum, semasa dan selepas PKP.

 

Purata itu menunjukkan peningkatan berbanding penggunaan biasa bagi penduduk rantau berkenaan.

Dalam laporan yang sama, lapan daripada 10 pengguna memberi gambaran bahawa teknologi adalah peranti yang amat berguna semasa tempoh pandemik sekali gus menjadikannya sebagai sebahagian yang penting daripada kehidupan harian seseorang.

Kadar penggunaan internet di Asia Tenggara turut menunjukkan peningkatan dengan jumlah pengguna baharu seramai 40 juta pada tahun 2020.

Pengguna di Malaysia mula beralih ke internet untuk mencari penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi secara tiba-tiba sepanjang tempoh PKP.

Sebilangan besar pengguna memilih untuk mencuba perkhidmatan digital baharu.

Sebanyak 36% daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan digital di negara ini merupakan pengguna baharu.

Manakala, 92% daripada pengguna baharu itu dilihat akan terus menggunakan perkhidmatan digital pasca pandemik. - DagangNews.com