Projek 8 Conlay : GDB sah keluarkan notis penggantungan kepada KSK Land | DagangNews Skip to main content

Projek 8 Conlay : GDB sah keluarkan notis penggantungan kepada KSK Land

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Ogos - GDB Holdings Bhd. mengesahkan telah mengemukakan notis penggantungan bagi projek 8 Conlay kepada Damai City Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KSK Land Sdn. Bhd. pada 16 Ogos lalu.

 

Menurut syarikat khidmat pembinaan itu, notis tersebut diserahkan melalui anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd. ekoran wujudnya beberapa laporan media berhubung status projek berkenaan.

 

Katanya, kedua-dua pihak sedang berbincang dengan tujuan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

 

"Notis itu diserahkan seperti menurut dan dalam terma yang ditetapkan dalam perjanjian dan kontrak.

 

"Syarikat akan membuat pengumuman jika terdapat sebarang perkembangan penting," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 


Baca : 8 Conlay tidak berdepan sebarang penggantungan kerja, kata KSK Land

 

 

Minggu lalu, KSK Land menafikan desas-dusus mengenai dakwaan projek 8 Conlay menghadapi penggantungan kerja.

 

Sebaliknya, KSK Land berkata pemegang sahamnya kekal komited dengan 8 Conlay di sebalik berdepan cabaran pandemik. 

 

Malah, terdapat kemajuan yang stabil dalam Kediaman Berjenama YOO8 dengan Menara A kini berada pada tahap 60.31% siap dengan kerja struktur sudah siap 100% dan kerja seni bina 85% setakat 3 Ogos 2022.

 

Pada Oktober 2020, GDB mengumumkan memperoleh kontrak bernilai RM1.25 bilion membabitkan kerja-kerja sebagai kontraktor utama pembangunan projek pembangunan bercampur, 8 Conlay di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

 

Terletak di antara kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, 8 Conlay terdiri daripada tiga menara dengan ruangan runcit empat tingkat.

 

Pembangunan bercampur bersepadu itu turut akan mempunyai 68 tingkat Hotel Kempinski dan dua menara kediaman perkhidmatan. 

 

Setelah siap, 8 Conlay akan memiliki menara kediaman berkembar berpintal tertinggi di dunia dan Hotel Kempinski yang pertama dan satu-satunya di Malaysia. -DagangNews.com