Pgeon Express ambil alih aset CJ Logistics Express Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Pgeon Express ambil alih aset CJ Logistics Express Malaysia 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pgeon Express, Clarence Leong

 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. –  Pgeon Express Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh EasyParcel Sdn. Bhd. mengumumkan pemeteraian satu perjanjian pembelian aset dengan CJ Logistics Express Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kiriman cepat. 

 

Dalam perjanjian ini, Pgeon akan memperoleh 326 buah kenderaan komersial yang sebahagian besarnya merupakan trak 1 tan pada satu harga yang tidak didedahkan, mengambil alih sebahagian daripada cawangan-cawangan CJ Logistics dan menawarkan pekerjaan baharu kepada pekerja-pekerja CJ Logistics yang terpilih. 

 

Pembelian aset ini dijangka diselesaikan menjelang hujung 2021 sekali gus dapat meningkatkan kapasiti kutipan dan penghantaran Pgeon sehingga 5 kali ganda berbanding 2 kali ganda ketika ini.

 

Malah, Pgeon juga berupaya memenuhi kenaikan permintaan daripada para pelanggannya kerana ia menjangkakan mencapai sasaran menguruskan 100,000 bungkusan sehari menjelang pertengahan tahun depan. 

 

Selain pembelian aset, Pgeon turut meningkatkan kemampuan operasinya dengan membeli lebih banyak trak, mengembangkan tenaga kerjanya, dan melabur dalam automasi serta digitalisasi.
 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pgeon Express, Clarence Leong berkata, pihaknya amat teruja dengan pelbagai kemungkinan daripada tawaran pengambilalihan ini kerana ia menjana nilai buat pemegang-pemegang saham dan pihak berkepentingan. 

 

"Ia juga membuat ruang untuk merancang pertumbuhan syarikat kami secara strategik sekali gus mengukuhkan kedudukan Pgeon. 

 

"Selain itu, pembelian aset ini akan menguatkan lagi usaha-usaha syarikat bagi membina asas yang kukuh untuk memacu peluasan syarikat di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam tempoh beroperasi kurang daripada 5 tahun, Pgeon telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah syarikat perkhidmatan serahan dan kutipan layan diri terkemuka di Malaysia, menerusi penawaran perkhidmatan hantaran cepat pada kos yang rendah kepada pelanggan-pelanggannya. - DagangNews.com