KUALA LUMPUR 21 Mei - Paras semasa nilai dagangan harian purata sekuriti (SADV) Bursa Malaysia 2024 yang mencecah RM3.2 bilion 17 Mei lalu mampu diteruskan setidak-tidaknya bagi tempoh jangka sederhana, kata RHB Investment Bank (RHB Investment).
Menurut firma penyelidikan itu, prospek SADV yang kelihatan lebih cerah pada tahun ini antaranya didorong laporan berita positif secara terus-menerus yang memberikan kesan kepada pelbagai sektor.
Faktor kedua, katanya, sumber tunai mencukupi dapat dimanfaatkan untuk tujuan pelaburan dalam pasaran ekuiti tempatan, selain adanya arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaburkan sebahagian besar dana mereka di pasaran tanah air di samping langkah reformasi yang lebih besar diusahakan oleh Kerajaan.
"Oleh demikian itu, kami menaikkan ramalan SADV 2024 kepada RM3.2 bilion (daripada RM2.8 bilion) setelah mempertimbangkan prospek prestasi baharu buat syarikat ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit terkurang nilai, BNM tingkatkan perbincangan dengan pelabur bawa aliran masuk ke dalam pasaran pertukaran asing - Gabenor BNM
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan seru rakyat amal sikap Malaysia First, dahulukan barangan tempatan bantu kukuh nilai ringgit
Sementara itu, RHB Investment menyemak saranan pelaburan dengan menaik taraf saham Bursa Malaysia kepada Beli daripada Neutral dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM9.85 sesaham daripada RM8 sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, potensi kenaikan harga saham 19% dan kadar hasil dividen sekitar 4%.
"Melihat Bursa Malaysia sebagai penerima manfaat utama kepada keadaan pasaran sekuriti yang semakin rancak, kami menjangkakan saham ini akan memaparkan prestasi yang lebih memberangsangkan," jelasnya.
Jelas RHB Investment, buat masa ini, diandaikan tiada dividen khas akan dibayar kepada pemegang saham sementara menunggu penjelasan selanjutnya daripada pihak pengurusan.
"Meskipun kami difahamkan bahawa pihak Bursa Malaysia akan mengutamakan lebihan tunai yang ada untuk tujuan pelaburan ke arah produk dan platform baharu, pihaknya pernah membuat bayaran dividen khas semasa tempoh SADV memecah rekod catatannya seperti pada tahun 2017, 2018 dan 2020, iaitu tiga tahun terakhir yang ia melepasi paras rekod SADV," katanya. - DagangNews.com








