KUALA LUMPUR 21 Mei - Penyelesaian isu bekalan litar bersepadu (IC) dalam jangka masa terdekat dijangka membantu meningkatkan pendapatan P.I.E. Industrial Bhd pada 2QFY24.
Kenanga Research berkata, pemulihan itu juga akan membantu meningkatkan pengeluaran bekalan kepada Pelanggan A ke tahap optimum.
Katanya, kerja-kerja pengubahsuaian di Kilang 5 yang berkeluasan 100,000 kaki persegi juga telah siap dan kini dalam peringkat akhir pemasangan peraltan.
"Dikhususkan sepenuhnya untuk Pelanggan A, kilang itu ditetapkan untuk memulakan operasi menjelang Jun 2024, dan akan menggandakan ruang lantai untuk Pelanggan A, yang kini menduduki keseluruhan Kilang 3," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, hasil kumpulan pada 1QFY24 jatuh 28% disebabkan penurunan 31% dalam segmen pembuatan elektronik bersepadu (EMS) (yang biasanya menyumbang 80% kepada hasil kumpulan) manakala perniagaan wayar & kabel mengalami penguncupan 19% akibat kekurangan permintaan.
Kelemahan prestasi dalam segmen EMS disebabkan oleh pengurangan jumlah pemuatan daripada Pelanggan A, disebabkan oleh kekurangan IC.
Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih terasnya jatuh lebih 65% disebabkan kehilangan skala operasi pada pengeluaran yang lebih rendah dan normalisasi kadar cukai.
Kumpulan itu juga dijangka berdepan pelbagai cabaran termasuk kehilangan pesanan utama, kontrak tidak diperbaharui, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos buruh, ulasan negative terhadap kebajikan pekerja asing selain tukaran mata wang asing yang tidak stabil.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.75 sesaham," katanya.- DagangNews.com








