Pendapatan operasi meningkat, untung bersih Q2 JHM melompat 240% | DagangNews Skip to main content

Pendapatan operasi meningkat, untung bersih Q2 JHM melompat 240%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Pendapatan operasi selain hasil yang lebih tinggi telah melonjakkan keuntungan bersih JHM Consolidation Berhad sehingga 240.43% pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) kepada RM9.32 juta. 

 

Angka itu meningkat daripada RM2.74 juta yang dicatatkan pada 2QFY20, dipacu oleh lonjakan hasil kumpulan sebanyak RM69.27 juta untuk tempoh tersebut, menurut makluman JHM kepada Bursa Malaysia. 

 

Bagi perbandingan suku tahun pula, keuntungan bersih JHM menokok 3.46%, namun hasil kumpulan menyusut 5.52%. 

 

“Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021, kumpulan mencatatkan hasil dan keuntungan selepas cukai (PAT), masing-masing bernilai RM142.59 juta dan RM18.33 juta, mencerminkan peningkatan 47.52% dari segi hasil dan 128.40% dalam PAT berbanding tempoh sama, tahun lalu. 

 

“Prestasi kewangan kumpulan setakat ini, yang memberangsangkan itu disumbangkan oleh jumlah jualan lebih tinggi terutamanya dalam segmen automotif dan peningkatan PAT seiring lonjakan dalam hasil serta pendapatan operasi lain yang lebih tinggi,” jelas JHM.

 

JHM yang menawarkan perkhidmatan pembuatan mekanikal dan elektronik, terutamanya untuk sektor automotif itu bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku tahun tersebut. 

 

Mengulas mengenai prospek pasaran, JHM menjangkakan keadaannya akan tidak menentu ekoran ketidaktentuan dari segi pemulihan ekonomi global, susulan pandemik COVID-19. 

 

Namun, JHM optimis prospek kumpulan akan berdaya tahan dan berhasrat untuk meneruskan pelan pengembangannya bagi menyokong perolehan pelanggan baharu daripada segmen automotif dan perindustrian. 

 

Setakat 3.26 petang, harga saham JHM menokok 6 sen kepada RM2.06. - DagangNews.com