Pemegang saham minoriti saman ILB Group bagi halang usaha mencairkan saham sedia ada | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham minoriti saman ILB Group bagi halang usaha mencairkan saham sedia ada

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - BT Investment Capital Ltd yang merupakan pemegang saham minoriti ILB Group Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Integrated Logistics Berhad memfailkan sama terhadap syarikat logistik dan ahli lembaga pengarahnya sebagai usaha menghalang pengambilalihan tanah yang boleh mencairkan saham yang dimiliki oleh pemegang saham sedia ada.

 

Menerusi saman pemula yang difailkan Low Bok Tek bagi pihak BT Investment Capital pada 2 Ogos 2022, ia menamakan sembilan defendan sebagai ILB, Pengerusinya Datuk Karownakaran@Karunakaran Ramasamy; Ketua Pegawai Eksekutif, Tee Tuan Sem; Pengarah Eksekutif ,Makoto Takahashi, Pengarah Bukan Eksekutif, Wan Azfar Wan Annuar, Datuk Wan Hashim Wan Jusoh, Soh Eng Hooi dan Jamilah Kamal, serta Impian Nuri Sdn. Bhd.

 

Mereka memfailkan permohonan mendapatkan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Ogos 2022 bagi menghentikan atau membatalkan cadangan ILB mengambil alih sembilan bidang tanah komersial dengan lot kedai di Seksyen 19, Petaling Jaya dengan harga RM15.9 juta melalui terbitan 37.78 juta saham baharu.

 

Dalam kenyataan berasingan pada 3 Ogos 2022, BT Investment Capital berkata, cadangan terbitan saham baharu itu akan meningkatkan bilangan saham terbitan kepada 232.81 juta daripada 195.03 juta semasa.

 

"Langkah itu akan mencairkan pegangan saham sedia ada dan tidak mewujudkan nilai untuk pemegang saham kerana pendapatan sesaham ILB dan sebarang dividen, hak, peruntukan atau pengagihan lain yang mungkin diisytiharkan oleh ILB akan memberi kesan negatif. 

 

"Kesan pencairan ini sudah diumumkan oleh lembaga pada 15 Julai 2022 di Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada masa yang sama, urus niaga yang dicadangkan itu akan mewujudkan pemegang saham tunggal terbesar baharu dalam bentuk komersial, Impian Nuri, yang akan mempunyai 16.67% pegangan dalam ILB selepas pengambilalihan itu.

 

BT Investment Capital juga menyatakan bahawa cadangan 37.78 juta saham baharu adalah bersamaan dengan 19.37% daripada asas saham semasa ILB, hanya di bawah mandat am 20%.

 

"Lembaga ILB memetik mandat am 20% untuk urus niaga yang dicadangkan sebagai satu cara untuk menyediakan langkah pelepasan kepada syarikat senaraian awam yang perlu mengumpul modal dengan cara yang tepat pada masanya dan kos efektif sebagai modal kerja atau perbelanjaan operasi bagi mengekalkan perniagaan semasa pandemik. 

 

"Langkah sementara ini dibenarkan sehingga 31 Disember 2021 dan dilanjutkan lagi hingga 31 Disember 2022.

 

"Bertentangan dengan hasrat mandat am 20% ini, urus niaga yang dicadangkan tidak menyebabkan dana disuntik ke dalam syarikat dan ILB juga tidak kelihatan perlu mengumpul wang tunai seperti yang ditunjukkan oleh laporan tahunan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, yang mencatatkan wang tunai dan baki bank sebanyak RM86.03 juta," katanya.

 

Menurut laporan tahunan ILB 2021, Tuan Sem merupakan pemegang saham tunggal terbesar dengan 15.91% kepentingan dalam ILB, diikuti oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (10.85%), Etern Group (HK) Co Ltd (9%) dan Takahashi pada 7.57% sehingga akhir Februari 2022. - DagangNews.com