Pameran Lukisan Batik Canting Dua Generasi Alumni UPM kumpul dana biasiswa | DagangNews Skip to main content

Pameran Lukisan Batik Canting Dua Generasi Alumni UPM kumpul dana biasiswa

SERDANG 2 Ogos - Dengan laungan daripada Naib Canselor, YH. Prof Datuk Dr. Roslan Sulaiman iaitu ‘Sederap Melangkah Menuju Al-Falah’ telah mencetuskan idea lebih kreatif dalam kalangan warga Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk terus menyemarakkan tradisi menyumbang budaya ikatan. 

 

Pada 9 jun hingga 9 Julai 2022 lalu, berlangsung pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi. Pameran selama sebulan itu telah berlangsung di Perpustakaan Sultan Abdul Samad UPM.

 

Lebih istimewa, pameran itu adalah kesinambungan pameran terdahulu iaitu pameran batik yang bertemakan 2 Jiwa 1 Rasa, siri satu dan dua.

 

Pameran yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, ini mendapat kerjasama Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) dan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK). 

 

Pameran Batik Canting 2 Generasi ini telah mempamerkan hasil karya daripada Mohd Isnain Ali, Galinda Kamaruzaman dan anak kepada pasangan itu iaitu Mohd Alif Akram Isnain.

 

Ketiga-tiga karyawan ini adalah staf UPM dan mereka berusaha untuk mengumpul dana hasil daripada jualan lukisan batik canting ini untuk pendanaan Biasiswa 2 Generasi 2022.

 

Selama sebulan pameran dilakukan di perpustakaan dan pelbagai aktiviti promosi telah dilakukan, hasil terkumpul sudah menjangkau RM15,000 dan objektif pameran ini telah tercapai iaitu untuk menaja seorang pelajar peringkat diploma bagi sesi 2022/2023. 

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Dengan kejayaan ini, Biasiswa Alumni 2 Generasi merupakan biasiswa ke-18 yang berjaya direalisasikan oleh Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama semua pihak terutamanya alumni UPM yang kembali menyumbang kepada alma mater. 

 

Ketua Bahagian Seksyen Pentadbiran dan Kewangan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Isnain Ali, menyifatkan ia adalah sumbangan bakti beliau terhadap UPM yang selama ini banyak memberi jasa dan manfaat kepada dirinya dan juga keluarga. 

 

 

upm

 

 

“Pada saya ini adalah cara saya membalas budi UPM selama saya berkhidmat di sini selama 30 tahun dan pada tahun 2022 adalah tahun akhir saya berkhidmat.

 

 

upm

 

 

"Memikirkan apakah yang boleh diberikan kepada ‘majikan’ yang selama ini menjaga kebajikan saya dan keluarga, maka lahirlah dan tercetuslah idea untuk mengadakan Pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi yang mana hasil jualan lukisan ini akan kami sumbangkan sepenuhnya kepada Pusat Perhubungan Alumni untuk diuruskan sebagai sebuah biasiswa kepada pelajar-pelajar UPM yang memerlukan, terutamanya mereka daripada keluarga B40 dan juga asnaf. 

 

"Saya namakan ia sebagai 2 generasi kerana pameran kali ini juga melibatkan hasil karya daripada anak saya iaitu Mohd Alif Akram. Kami bertiga sepakat iaitu saya, isteri dan anak untuk adakan pameran ini yang mana inilah sumbang bakti kami kepada UPM yang banyak berjaya kepada kami selama ini. Alhamdulillah pameran ini mendapat sokongan Naib Canselor UPM sendiri yang turut melawat pameran,” ujar beliau. - DagangNews.com