NUBE minta Kerajaan Pulau Pinang berhenti daripada terus berurusan dengan HSBC | DagangNews Skip to main content

NUBE minta Kerajaan Pulau Pinang berhenti daripada terus berurusan dengan HSBC

Oleh J Solomon

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya lebih berhati-hati dengan HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) yang terkenal dengan sikap buruk kerana cuba mempertahankan dirinya ekoran gesaan NUBE agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan urusan dengan HSBC.

 

Kami ingin menasihati Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa kenyataan terkini oleh HSBC Bank, pada Khamis lalu, hanyalah bersifat hipokrit. Sikap sebenar HSBC ialah "tidak mengamalkan apa yang mereka perkatakan" dan tidak "mengotakan apa yang dijanjikan", dan NUBE menasihatkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak terperangkap dengan cakap-cakap manis dan wang mereka.

 

HSBC telah melakukan banyak tindakan yang dianggap sebagai pengkhianatan amanah yang tidak boleh dibiarkan dan kami terkejut Kerajaan Malaysia membenarkannya.

 

Dakwaan HSBC bahawa bank "akan terus bekerjasama dengan semua kesatuan sekerja, termasuk NUBE, untuk memahami jika terdapat lebih banyak ruang untuk menyokong pekerja-pekerja bank" merupakan kenyataan memperdaya kerana terdapat satu senarai panjang penipuan dan eksploitasi yang difailkan di mahkamah, di arena antarabangsa dan pertikaian-pertikaian yang menunjukkan HSBC tidak mahu melibatkan kesatuan sekerja dengan menyalahgunakan kuasa mutlak mereka.

 

Malangnya, kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan Malaysia nampaknya melindungi ketidakadilan mereka. Malah, di bawah Perjanjian Kolektif (CA) yang hanya melibatkan 100 orang pekerja pun HSBC sengaja mengelakkan proses tawar-menawar yang berniat baik dan mengamalkan tahap diskriminasi yang melampau ke atas pekerja-pekerja B40 dan M40.

 

HSBC tidak menghormati prinsip penting CA yang objektif utama adalah untuk memelihara keharmonian industri antara Bank dan NUBE serta di tempat kerja.

 

Pengurusan HSBC telah mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan tadbir urus sosial yang baik dan malangnya Kerajaan Malaysia membenarkan dan mengkhianati pekerja Malaysia untuk memenuhi kepentingan politik mereka.

 

HSBC telah melakukan pemberhentian berulang kali dengan berselindung di bawah skim VSS dan MSS sejak 2017, menolak rundingan mengenai nasib pekerja yang tidak mahu menyertai VSS/MSS dan HSBC mengabaikan Tatakelakuan Keharmonian Industri dan menafikan hak asasi pekerja, terutamanya pekerja B40 dan M40 untuk menyara hidup ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

 

Menyalahgunakan kuasa mereka dengan menggunakan wang pelanggan dan kerajaan untuk menjalankan tindakan pemusnahan kesatuan nampaknya menjadi pemahaman mereka tentang "mahu terus bekerjasama dengan semua kesatuan sekerja"?

 

Bagaimana kesatuan sekerja, pekerja-pekerja di Malaysia, pelanggan dan lebih-lebih lagi kerajaan negeri boleh mempercayai bank global HSBC yang mempunyai ciri-ciri keji yang sedemikian.

 

 

J SOLOMON
                                                                           J Solomon

 

 

Pelanggaran terang-terangan HSBC terhadap konvensyen antarabangsa dan hak asasi manusia menyebabkan NUBE merujuk kes diskriminasi dan penganiayaan HSBC ke mahkamah di Malaysia, dan badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

 

Isu-isu terbabit dibawa ke mahkamah Malaysia dan peringkat global apabila hampir semua agensi Kerajaan Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk melindungi penyalahgunaan buruh, gagal melaksanakan fungsi berkanun mereka untuk melindungi pekerja yang terdedah kepada tindakan bank.

 

NUBE mengalu-alukan pelabur asing yang beretika dan mematuhi undang-undang serta pelaburan mereka ke Malaysia kerana mereka akan menyediakan peluang pekerjaan yang mempunyai perlindungan yang relevan untuk pekerja.

 

HSBC mempamerkan wangnya untuk merasuah Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya menutup kedua-dua mata agar HSBC boleh memperoleh keuntungan daripada pekerja kalangan rakyat Malaysia yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia dengan menafikan hak, kebajikan dan kepentingan mereka, memberhentikan pekerja walaupun semasa pandemik, tidak menghormati perjanjian, penutupan banyak cawangan sehingga menyukarkan dan membebankan pelanggan, melanggar undang-undang dan amalan perindustrian atas nama prerogatif pengurusan.

 

NUBE membangkitkan bantahan terhadap kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan HSBC kerana tindakan berulang HSBC menjejaskan hak pekerja di Malaysia dan mempunyai beberapa rekod jenayah di peringkat antarabangsa.

 

Tingkah laku HSBC yang menjijikkan adalah serupa dengan tindakan menggigit tangan yang memberi makan.

 

 

HSBC
Bangunan HSBC di Georgetown, Pulau Pinang.

 

 

Kerajaan diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir negara dan rakyat dengan jaminan bahawa ia hanya akan mengalu-alukan kedatangan pelabur yang akan mengutamakan kepentingan pekerja.

 

Kerajaan perlu tegas dalam perkara ini. Jika kerajaan bersedia menerima tuntutan dan syarat yang dikenakan oleh negara asing dalam membawa masuk pekerja-pekerja asing ke Malaysia, mengapa tidak kita mengenakan syarat yang sama demi menjaga kepentingan pekerja-pekerja tempatan apabila meluluskan pelaburan asing.

 

NUBE telah menggesa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan semua Kerajaan Negeri supaya mengambil pendirian tegas untuk mengalu-alukan hanya syarikat asing yang benar-benar berorientasikan rakyat menjalankan perniagaan di Malaysia.

 

Kedua-dua Kerajaan Negeri dan Pusat perlu mempunyai kemahuan politik dan komitmen dalam membawa masuk pelabur berkualiti dan mereka yang sanggup menjaga kepentingan pekerja tempatan, bukan mengutamakan keuntungan semata-mata.

 

Kerajaan Pusat mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk hanya mengalu-alukan syarikat tulen yang mengutamakan kebajikan rakyat, selaras dengan slogan “Keluarga Malaysia”, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Jika tidak, Kerajaan Pusat dan Negeri juga akan dilihat mengkhianati kepercayaan dan keyakinan pengundi.   - DagangNews.com

 
J Solomon merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)