MYNIC tawar geran digital perniagaan bantu perkasa ekonomi digital PMKS | DagangNews Skip to main content

MYNIC tawar geran digital perniagaan bantu perkasa ekonomi digital PMKS

Antara usahawan PMKS yang menerima geran digital perniagaan dari MYNIC di Jelajah AKM Selangor pada 21 Ogos 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 21 Ogos - Malaysia Network Information Centre Berhad (MYNIC), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menawarkan geran digital perniagaan bernilai RM3,500 untuk membantu pendigitalan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam, di sini.

 

Ketua Pegawai Operasi MYNIC, Norafizah Abd Rahman berkata, ia merangkumi pakej penghasilan laman web meliputi domain.MY (DN), latihan pemasaran digital selama tiga tahun yang bakal memberi manfaat serta impak terhadap perniagaan mereka.

 

Beliau berkata, geran tersebut terbuka kepada semua pemilik perniagaan warganegara Malaysia dan untuk memohon, mereka hanya perlu mempunyai lesen perniagaan atau sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

"Setakat ini sebanyak 15 permohonan geran tersebut telah diluluskan, yang secara keseluruhan berjumlah RM52,500 sejak ia dilancarkan di Jelajah AKM Kelantan baru-baru ini. 

 

"Menerusi geran ini, mereka akan dilatih menghasilkan laman web sendiri untuk perniagaan mereka menerusi bimbingan MYNIC, seterusnya menyertai platform komuniti kami menerusi aplikasi Telegram atau WhatsApp Group.

 

"Di situ, mereka boleh bertanya atau berkongsi segala maklumat dan ilmu dalam usaha meningkatkan taraf perniagaan mereka ke lebih tinggi sekali gus memacu ekonomi digital. Menerusi usaha ini, usahawan akan memiliki platform perniagaan digital sendiri," katanya kepada DagangNews ketika ditemui hari ini.

 

 

mynic
Norafizah Abd Rahman

 

 

Dalam pada itu, seorang usahawan, Kamal Hafiz Mohd Shaharuddin, 22, berkata, dia berasa teruja kerana telah menerima Geran Digital Perniagaan daripada MYNIC di Jelajah AKM Selangor.

 

Dia yang menjalankan perniagaan karpet buatan tangan sejak setahun lalu hanya berniaga di platform media sosial seperti Instagram, TikTok dan Twitter.

 

 

mynic
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad (kiri) menyerahkan mock-up geran digital perniagaan kepada Kamal Hafiz Mohd Shaharuddin di Jelajah AKM Selangor pada 21 Ogos 2022.

 

 

mynic

 

 

"Tujuan saya memohon geran ini adalah untuk mengembangkan perniagaan dan memiliki platform perniagaan digital sendiri, selain dapat melengkapkan ekosistem e-dagang yang nampak lebih sistematik dan profesional. 

 

"Saya berterima kasih serta bersyukur kepada MYNIC kerana memberi peluang dan menyokong perniagaan kecil seperti kami. Di luar sana, penghasilan laman web agak mahal bermula RM6,000 hingga RM10,000. Saya berterima kasih kepada mereka menawarkan geran dengan harga berpatutan, termasuk bimbingan secara percuma," katanya. - DagangNews.com