MYHackathon Terengganu iktiraf 6 idea sistem kesihatan awam | DagangNews Skip to main content

MYHackathon Terengganu iktiraf 6 idea sistem kesihatan awam

Barisan pemenang MYHackathon 2020 bagi pusingan Terengganu.

Barisan pemenang MYHackathon 2020 bagi pusingan Terengganu.

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Pencarian penyelesaian digital MYHackathon 2020 bagi pusingan Terengganu untuk meningkatkan tahap perkhidmatan sektor kesihatan dan mempromosikan gaya hidup sihat berakhir dengan pemilihan enam idea yang diangkat sebagai pemenang.

 

Di bawah tema 'Rakyat Sihat Sejahtera', penyelesaian berkenaan membuka jalan bagi pendigitalan rekod perubatan; mengurus dan merekodkan "persetujuan pesakit" untuk menerima perkhidmatan perubatan dari hospital dan klinik kerajaan dalam menjalani norma baharu akibat pandemik COVID-19.

 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, pendigitalan sistem perkhidmatan di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan memastikan tiada yang ketinggalan daripada menerima bantuan kesihatan yang diperlukan.

 

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

 

“Sehingga September lalu, sebanyak 99,694 tuntutan diterima berjumlah RM6.64 juta bagi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40).

 

"Seramai 63,000 pesakit di seluruh negara turut menerima manfaat Tabung Bantuan Perubatan (TBP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Berkemungkinan ada yang tercicir daripada mendapat bantuan akibat sistem data kerajaan yang kompleks, dan ada yang gagal membuat temu janji di klinik, hospital dan berhubung dengan jabatan kerajaan kerana laman web perkhidmatan kita yang kurang mesra pelanggan atau tidak efisien.

 

"Saya percaya kesemua ini boleh diatasi dan dipermudahkan dengan pendigitalan sistem perkhidmatan sesebuah kementerian, jabatan atau agensi yang terlibat,” katanya dalam ucapan pengumuman pemenang secara maya semalam.

 

Enam idea yang dipilih itu terdiri daripada tiga idea kategori MARATHON dan tiga idea bagi kategori SPRINT.

 

Bagi kategori MARATHON, tiga solusi yang bakal dilancarkan pada 2021 adalah BukuPink daripada Nurul Afifah Basir, YOHO e-Health daripada Phua Ging Sheng, dan AnakApp - Powered by Blockchain and AI daripada Tan Aik Keong. 

 

Pemenang-pemenang di bawah kategori MARATHON itu akan menerima geran bersyarat sehingga RM250,000 untuk
menjalankan projek rintis untuk 12 bulan seterusnya dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

 

Manakala untuk kategori SPRINT, pemenang pertama adalah Suzani Mohamad Samuri dengan penghasilan Mom and Child Record (myMaCer), diikuti Mohd Erman Safawie Che Ibrahim dengan Pink Book Analytics: Monitor and Predict Children's Health, dan Mohd Ikmal Ahmad Zaihidi dengan Id Entrance Pass (Complement of Mysejahtera).

 

Rafiza Ghazali
Rafiza Ghazali

 

Mereka masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, RM7,500, RM5,000 serta hadiah menarik yang lain.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali berkata, pihaknya menggunakan pendekatan hibrid di mana pusingan tertentu dijalankan secara dalam talian sebagai langkah pencegahan COVID-19 dan tidak dijalankan di lokasi yang berlainan di seluruh negara seperti yang dirancang pada sebelumnya.

 

"Seluruh proses MYHackaton 2020 untuk setiap pusingan berlangsung selama 15 hari dimana para peserta akan melalui beberapa proses saringan, ‘coaching’ umum, ‘bootcamp’, dan hari ‘pitching’ untuk mendapatkan tempat sebagai pemenang," jelasnya.

 

Acara yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian itu menyaksikan 21 pasukan finalis daripada 67 pasukan yang menyerahkan penyelesaian digital masing-masing di hadapan pakar industri. - DagangNews.com